Tuesday, May 6, 2008

SEJARAH MALAYSIA SEPINTAS LALU

Malaysia (Jawi: مليسيا) ialah sebuah negara persekutuan yang terletak di Asia Tenggara. Malaysia mempunyai dua kawasan utama yang terpisah oleh Laut China Selatan; iaitu Semenanjung Malaysia, bersempadankan Thailand di utara dan Singapura di selatan; dan Malaysia Timur, bahagian utara Pulau Borneo yang bersempadan dengan Indonesia di selatan dan Brunei di utara. Malaysia adalah salah satu negara perintis ASEAN.
Senarai kandungan
[tutup]

* 1 Sejarah
* 2 Politik
* 3 Geografi
* 4 Ekonomi
* 5 Demografi
* 6 Budaya
* 7 Negeri dan Wilayah
o 7.1 Negeri
o 7.2 Wilayah Persekutuan
* 8 Tokoh utama di Malaysia
* 9 Organisasi
* 10 Fakta lain
* 11 Pencapaian Semasa
* 12 Lihat juga
* 13 Rujukan
* 14 Pautan luar

Sejarah

Rencana utama: Sejarah Malaysia

Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan di Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui Selat Melaka. Banyak kerajaan awal wujud pada abad ke-10 berasal daripada bandar pelabuhan. Ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak, serta Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis, Belanda dan Britain untuk mewujudkan petempatan atau koloni di Selat Melaka.

Petempatan selat koloni diraja Britain diwujudkan pada 1826, dan Britain sedikit demi sedikit menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke atas seluruh semenanjung. Penempatan selat ini terdiri dari Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri-negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan kongsi gelap Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah masalah penduduk Negeri-negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri-negeri Melayu (iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga Negeri-negeri Melayu Bersekutu). Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berada di bawah kuasa Thailand.

Di Borneo pula, Borneo Utara Britain dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu (sekarang Sabah) ditabalkan sebagai Koloni Diraja British, manakala Sarawak menjadi milik keluarga Brooke. Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, sokongan untuk kemerdekaan semakin kuat. Apabila Britain mahu mewujudkan Malayan Union selepas perang berakhir, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-Melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk Semenanjung Tanah Melayu diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa penyertaan Singapura.

Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei yang kecewa kerana sultan mereka tidak disenarai dalam bakal Yang Di-Pertuan Agong. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia, dan tuntutan Sabah oleh Filipina. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan rusuhan kaum terjadi pada 1969.

Kini Malaysia masih lagi mempunyai beberapa masalah dengan jirannya seperti masalah penambakan tanah oleh Singapura dan isu harga air. Dengan Indonesia juga terdapat sedikit perselisihan mengenai pemberian konsesi carigali minyak di perairan Sabah serta masalah pekerja asing tanpa izin (PATI). Namun segala masalah tersebut dirundingkan secara aman dengan semangat setiakawan. Tambahan lagi, rakyat Malaysia dan jiran-jirannya berasal dari rumpun yang sama. Terutamanya dengan rakyat Indonesia, Malaysia telah banyak menjalin ikatan dengan rakyat di negara itu.

Politik
Bangunan Parlimen Malaysia
Bangunan Parlimen Malaysia

Rencana utama: Politik di Malaysia

Persekutuan Malaysia merupakan sebuah negara raja berperlembagaan. Malaysia diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada sembilan sultan negeri Melayu untuk berkhidmat selama lima tahun.

Sistem ini adalah berdasarkan Westminster kerana Malaysia merupakan bekas tanah jajahan Britain. Kuasa pemerintahan lebih banyak dipegang oleh cabang eksekutif berbanding perundangan. Pilihan raya umum pula perlu diadakan setiap lima tahun sekali.

Kuasa eksekutif ditetapkan oleh kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Berdasarkan perlembagaan Malaysia, Perdana Menteri mestilah seorang anggota Dewan Rakyat, yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, memimpin kumpulan majoriti dalam parlimen. Manakala kabinet merupakan ahli parlimen yang dipilih daripada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Parlimen terbahagi kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Negara mempunyai 70 orang senator (iaitu panggilan yang diberikan kepada ahli Dewan Negara). Pemilihan ahlinya boleh dibahagikan kepada dua:

1. 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli).
2. 44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Dewan Rakyat pula mempunyai seramai 219 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama lima tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan. Kuasa perundangan dibahagi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Kuasa politik di Malaysia amat penting bagi memperjuangkan sesuatu isu dan hak oleh yang demikian kuasa memainkan peranan yang amat penting dalam melakukan perubahan.

* Laman Rasmi Parlimen Malaysia

Geografi
Ladang Teh di Sungai Palas, Cameron Highlands
Ladang Teh di Sungai Palas, Cameron Highlands

Rencana utama: Geografi Malaysia

Malaysia terdiri daripada dua kawasan utama yang dipisahkan oleh Laut China Selatan. Kedua dua kawasan mempunyai bentuk muka bumi yang hampir sama, iaitu daripada pinggir laut yang landai sehinggalah hutan tebal dan bukit bukau. Iklim Malaysia ialah khatulistiwa.

Putrajaya ialah pusat pemerintahan yang baru dibina dengan tujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur. Pejabat Perdana Menteri telah berpindah ke Putrajaya pada 1999 dan keseluruhan pejabat kerajaan pusat selesai berpindah ke Putrajaya pada 2005. Hanya beberapa pejabat kerajaan seperti RTM dikekalkan di Kuala Lumpur, selain Parlimen. Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara Malaysia. Bandar raya lain termasuk Ipoh, George Town, dan Johor Bahru.

Ekonomi
Menara Berkembar KLCC, mercu tanda Malaysia
Menara Berkembar KLCC, mercu tanda Malaysia

Rencana utama: Ekonomi Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara berpendapatan sederhana, berubah daripada sebuah negara pengeluar bahan mentah seperti getah, bijih timah dan sebagainya pada 1971 kepada negara berekonomi pelbagai sektor melalui Dasar Ekonomi Baru. Pada dasarnya, pertumbuhan Malaysia adalah bergantung kepada eksport bahan elektronik seperti cip komputer dan sebagainya. Akibatnya, Malaysia merasai tekanan hebat semasa kegawatan ekonomi pada 1998 dan kemerosotan dalam sektor teknologi maklumat pada tahun 2001. KDNK pada tahun 2001 hanya meningkat sebanyak 0.3% disebabkan pengurangan 11% dalam bilangan eksport tetapi pakej perangsang fiskal yang besar telah mengurangkan kesan gawat tersebut.

Malaysia mempunyai persekitaran makroekonomi yang stabil (di mana kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal di bawah 3%), simpanan pertukaran wang asing yang sihat, dan hutang luar yang kecil. Ini membolehkan Malaysia untuk tidak lagi mengalami krisis yang sama seperti Krisis Kewangan Asia pada 1997. Walaubagaimanapun, prospek jangka panjang kelihatan agak kabur disebabkan kurangnya perubahan dalam sektor korporat terutama sekali sektor yang berurusan dengan hutang korporat yang tinggi dan kompetitif.

Selain getah dan sawit yang banyak di semenanjung, Sabah dan Sarawak juga kaya dengan sumber asli seperti kayu balak, petroleum dan gas asli.

Demografi

Rencana utama: Demografi Malaysia

Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, dengan kaum Melayu menjadi etnik terbesar di Malaysia dengan 54 % dari jumlah warganegara. Dari segi perlembagaan, orang Melayu ialah orang yang berkulit sawo matang, berbahasa Melayu dan beragama Islam. Kira kira satu perempat daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina, dan 7% lagi terdiri daripada kaum India. Hampir 85% daripada kaum India di Malaysia merupakan masyarakat Tamil.

Lebih separuh populasi Sarawak dan 66% populasi Sabah terdiri daripada kaum bumiputera bukan Melayu. Kemasukan kaum lain sedikit sebanyak mengurangkan peratusan penduduk peribumi di kedua-dua negeri itu. Keadaan di Sabah lebih teruk setelah kemasukan UMNO dalam usaha menguasai politik di negeri itu. Mereka terbahagi kepada puluhan kumpulan etnik tetapi memiliki budaya umum yang sama. Kaum yang utama adalah Kaum Kadazan-Dusun, Dayak dan Iban. Sehingga abad ke 20, kebanyakan daripada mereka mengamalkan kepercayaan tradisional tetapi kini telah ramai yang sudah bertukar kepada Kristian atau memeluk Islam.

Selain itu, Malaysia juga mempunyai penduduk yang berasal daripada Eropah (dipanggil Eurasia) dan Timur Tengah. Kepadatan penduduk Malaysia tidak seragam dengan 17 juta daripada 25 juta rakyat Malaysia menetap di Semenanjung Malaysia.

Tuesday, April 29, 2008

PERISTIWA BUKIT KEPONG 1950

Peristiwa Bukit Kepong adalah kesan kekejaman pengganas komunis semasa keadaan darurat selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang pengganas komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian tersebut, para anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Dalam mempertahankan balai polis Bukit Kepong, 17 orang anggota telah terkorban.
Senarai kandungan

Permulaan

Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya (berbangsa Cina)semasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.

Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:

1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
2. Keadaan balai polis yang terpencil

Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.

Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.

Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ.

Serangan Komunis

Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan dipercayai diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu yang diperdaya oleh pihak komunis Cina, di mana pada awal rancanganya Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu sebagai amaran sahja, bagaimanapun ia bertukar menjadi tragedi buruk, ia juga disertai oleh Komisser Goh Peng Tun. Pihak komunis mengepong balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 04.15 pagi. Apabila Konstabel Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat duri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun lebih sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran. [1]

Sekitar pukul 5 pagi pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk membantu. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Sten Gun turut dimusnahkan komunis.

Sekitar pukul 7 pagi, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstebel Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Konstabel Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan baai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek pasangan kawin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

Bantuan dari perkampungan berdekatan

Semasa serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema kebeberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Kampung Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 AP/HG (Polis Bantuan - Auxiliary Police/Pengawal Kampung - Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari stesen pokis Bukit Kepung. Mereka kekurangan senjata berbanding komunis yang menggunakan senjata automatik berbanding raifal dan senapang patah yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepung dan memaksa pengunduran umum komunis.

Disebabkan keadaan tidak seimbangan, Ali Mustafa mengarah pengawalnya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.

Pada masa yang sama, sekumpulan pegawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh kearah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai kesana pada 10am dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan.

Selanjutnya

Apabila pengawal kampung memasuki kampung Bukit Kepung, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Ketua kampung mengambil alih pentakbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik yang bagaimanapu mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan menentang komunis. Terdapat pendapat yang menyamai peristiwa Bukit Kepong dengan Alamo, di mana anggota polis Bukit Kepong sama seperti penduduk (Texans) berhadapan dengan cabaran yang hebat dan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir.

Mereka yang terselamat

Anggota Polis

1. Konstabel Othman Yusoff (meninggal);
2. Konstabel Marin Abu Bakar Daud (meninggal);
3. Konstabel Tambahan Ahmad Khalid (meninggal);
4. Sarjan Haji Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)

Ahli keluarga anggota

1. Mariam Ibrahim - balu Konstabal Muhamad Jaafar
2. Zainun Muhamad - anak perempuan Konstabel Muhamad Jaafar
3. Abu Samah Muhammad - anak lelaki Konstabel Muhamad Jaafar
4. Zaleha - anak perempuan Konstable Muhamad Jaafar
5. Jamilah - anak perempuan Konstabel Marin Abu Bakar Daud
6. Hussain - anak lelaki Konstabel Marin Abu Bakar Daud
7. Fatimah Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Konstabel Hassan Osman
8. Pon Khalid - isteri Konstabel Marin Awang Ali
9. Fatimah Tuani - isteri Konstabel Hamzah Ahmad

Mereka yang terbunuh dalam pertempuran

Anggota Polis

1. Sarjan Jamil Mohd Shah (KPB Bukit Kepong)
2. Koperal Mohd Yassin Haji Wahab (T/KPB Bukit Kepong)
3. Lans Koperal Jidin Omar
4. Konstabel Hassan Osman
5. Konstabel Hamzah Ahmad
6. Konstabel Jaafar Hassan
7. Konstabel Muhamad Jaafar
8. Konstabel Marin Ibrahim Adam
9. Konstabel Abu Mohd Ali
10. Konstabel Abu Kadir Jusoh
11. Konstabel Marin Awang Ali
12. Konstabel Marin Basiron Adam
13. Konstabel Tambahan Mohd Top Lazim
14. Konstabel Tambahan Jaafar Arshad

Polis Bantuan

1. AP Samad Yatim
2. AP Mahmood Saat
3. AP Ali Akop
4. AP Othman Yahya

Keluarga Anggota

1. Allahyarhammah Fatimah Yaaba - isteri kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
2. Hassan Abu Bakar - anak lelaki kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
3. Allahyarhammah Saadiah - isteri kepada Konstabel Abu Mohd Ali
4. Allahyarhammah Simah Abu - anak kepada Konstabal Abu Mohd Ali

Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis

1. AP Redzuan Alias
2. Embong Lazim
3. Mendiang Koh Ah Cheng


* Filem Bukit Kepong (1981)

Pautan luar

* Laman Web Rasmi Polis Diraja Malaysia
* (Melayu) http://askari_mb.tripod.com/id45.htm
* (Inggeris) http://www.geocities.com/jazlany/hh_bukitkepong.htm
* Statistics of the Incident
* (Inggeris) Polis Diraja Malaysia's account of the Incident
* (Inggeris) Discussion of the impact of the Incident
* (Inggeris) Detailed account of the events by A L (Paddy) Bacskai
* (Inggeris) Pictures of Bukit Kepong by M Jeffri Razali

Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_Bukit_Kepong"
Kategori: Sejarah Malaysia

DARURAT DI TANAH MELAYU 1948-1960

Darurat Tanah Melayu yang berlaku pada tahun 1948 hingga 1960 adalah persengkatan antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan British di Tanah Melayu.

Darurat diisytiharkan pada 7-7-1948.

Punca darurat

Bolehlah dikatakan bahawa segala bermula selepas pendudukan Jepun 1942-1945. PKM dan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army). Nasionalisme orang Tanah Melayu yang telah dipengaruhi oleh orang Jepun semasa pendudukannya telah mendorong kepada mereka supaya ingin bekerajaan sendiri.

Pembunuhan seramai tiga orang pengurus ladang berbahasa Inggeris di Sungai Siput, Perak pada tahun 1948, telah menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu. Sebulan selepas itu PKM diharamkan.

Yang paling teruknya, boleh dikatakan dengan pengharaman PKM oleh kerajaan British kerana dianggap sebagai parti politik yang radikal. Pengharaman ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati oleh kebanyakan ahli dalam PKM kerana jasa mereka telah dilupakan oleh British semasa dalam penentangan Jepun.

Dengan itu, ketua PKM, telah mengubahkan dasarnya yang bersikap sederhana kepada bentuk yang agresif, iaitu dengan pembunuhan. PKM memulakan dengan mogok bersama dengan kesatuan sekerja, serta penubuhan Persatuan Buruh Baru (New Democratic Youth League).

Namun, pemogokan itu telah gagal dan undang-undang yang baru dibuat oleh British untuk melemahkan PKM, seterusnya PKM menggunakan serangan bersenjata untuk mendapatkan apa yang mereka dirasa patut.

Hubungan PKM dan British yang semakin teruk dan setelah Chin Peng sebagai ketua yang baru, gerakan bersenjata dibuat, dengan pembunuhan 3 ketua Kuo Min Dang (KMT), dan 3 orang pengurus ladang getah yang berbangsa Eropah, termasuk 1 penolong, pada 12-6-1948 dan 15-6-1948. Darurat Negeri diisytiharkan di Johor pada 19-6-1948.

Langkah mengatasi darurat

Undang-undang Darurat telah diisytiharkan. Antaranya adalah termasuk:

1. Parti politik yang bersifat radikal diharamkan.
2. Sesiapa yang disyaki dengan kegiatan komunis akan ditangkap, serta dibuang negeri.
3. Hukuman bunuh dibuat untuk sesiapa yang dianggap bersuhabat dengan komunis.

Pada masa darurat kira-kira 40,000 tentera termasuk beberapa rejimen askar Melayu telah dikerah untuk menghapuskan anasir komunis. Mereka dilengkapkan dengan peralatan kelengkapan perang, seperti meriam, kapal terbang, dan kapal laut.

Ketenteraan British juga telah diperketatkan. Polis British dan mata-mata khas telah bertambah ke 70,000 orang. Home Guard diperkenalkan supaya lebih banyak orang yang mampu membanteras komunis, iaitu sebanyak 200,000 orang. Bantuan tentera dari Komanwel (British, Australia, New Zealand, Gurkha dan Fiji), Polis Khas dan Perkhidmatan Negara telah dibuat.

Perintah Berkurung telah dibuat di kawasan yang telah mempunyai pengaruh komunis.

Kawasan Putih dan Hitam telah diperkenalkan supaya British boleh memudahkan proses mereka dalam membanteras komunis. Kawasan Putih adalah bermaksud kawasan tersebut telah bebas daripada anasir komunis, dan sebaliknya yang ada pada kawasan hitam. Antara semua negeri, Melaka adalah negeri yang pertama mendapat gelaran Kawasan Putih.

Sekatan jalan raya dan kawalan kampung telah dibuat oleh Home Guards di kawasan yang mungkin sebagai kawasan yang mempunyai pengaruh komunis, dengan itu, mereka boleh menyemak sesiapa sahaja dan juga berhak merampas barang yang mereka ada.

Kad Pengenalan diwajibkan supaya mereka boleh menangkap sesiapa sahaja yang tidak ada kad pengenalan. Kerajaan British telah mewajibkan semua penduduk Tanah Melayu mesti membuat kad pengenalan sebaik sahaja mereka berumur 12 tahun sahaja.

Sir Harold Briggs juga melancarkan rancangannya (Rancangan Briggs) untuk membanteras komunis. Rancangannya adalah termasuk:

1. Penempatan semula orang Cina. Ini adalah kerana sebahagian besar daripada ahli PKM adalah orang Cina, dan banyak orang Cina telah tinggal di kawasan setinggan semasa pendudukan Jepun (Rujuk pendudukan Jepun). Dengan kawalan dari orang Cina, jadi masalah untuk membanteras komunis adalah lebih senang.
2. "Kampung Baru" telah diperkenalkan. Kampung telah dibina di bahagian kawasan baru yang dipilih adalah dibuat untuk menempatkan orang Cina.

Kedua-dua langkah ini adalah penting, kerana kawasan setinggan orang Cina dianggap sebagai sarang untuk PKM dan tempat PKM untuk mendapatkan maklumat serta makanan. Dengan setiap Kampung Baru yang dikawal oleh Home Guards, jadi peluang untuk PKM and Min Yuen (pengintip PKM) untuk memberi malumat dan barang keperluan kepada PKM yang melancarkan serangan gerila.

Meskipun pasukan keselamatan telah diperkuatkan, namun tindakan ketenteraan secara langsung untuk menghapuskan komunis kurang berjaya. Ini kerana kumpulan komunis tidak bertempur secara berdepan. Tetapi mereka menjalankan tindakan secara gerila.

Terdapat juga kumpulan yang membantu dan memberi sokongan kepada Parti Komunis Malaya iaitu Min Yuen.

Undang-undang darurat telah ditamatkan pada 31 Julai 1960. Dalam tempoh 12 tahun perintah darurat dilaksanakan, kira-kira 11000 nyawa terkorban, termasuk 2500 orang awam.

Bagi menangani ancaman komunis, secara ringkasnya, pihak British telah melaksanakan beberapa dasar:-

1. Pembahagian daerah kepada kawasan putih dan kawasan hitam.
2. Memindahkan setinggan berhampiran hutan ke kawasan selamat terlindung daripada peras ugut pengganas dalam rancangan yang dikenali sebagai kampung baru.
3. Pengenalan sistem kad pengenalan bagai memudahkan seseorang itu dikenal pasti.
4. Menggunakan pengangkutan udara bagi membawa tentera bagi menggempur pengganas. Sekarang ini dikenali sebagai kumpulan tindak pantas. Setiap kali pengganas menyerang, mereka akan diburu habis-habisan bagi melemahkan semangat mereka bagi menyerang (discourage).
5. Memperkenalkan ISA.
6. Memberi pengampunan bagi pengganas yang menyerah melalui risalah yang disebarkan melalui unit udara.
7. Memperkenalkan sukarelawan kampung / pengawal kampung yang bersenjata.
8. Mendirikan balai polis dikawasan yang terancam / kawasan hitam.

Bagaimanapun kesemua taktik ini tidak akan berjaya sekiranya ia tidak disokong oleh penduduk tempatan. Ini terbukti dalam perang Vietnam, di mana pihak Amerika cuba meniru taktik British di Malaysia tetapi masih kalah dengan teruknya. Dengan itu kesemua taktik ini hanya membantu, tetapi sokongan padu kesemua rakyat berbilang kaum masih diperlukan bagi menangani anasir-anasir musuh.

Langkah bukan bentuk ketenteraan

Langkah berbentuk sosial juga dibuat kerana hati rakyat Tanah Melayu perlu diambil juga. Antara yang paling popular adalah berbentuk:

1. Catuan makanan dibuat. Ini adalah kerana sebahagian daripada penduduk Tanah Melayu yang adalah ahli Min Yuen (Mereka bukan ahli tentera dalam PKM, tetapi sebagai pengintip, (samaada secara sukarela atau melalui paksaan) Dengan makanan yang terhad, maka makanan dan belakan yang lain adalah terhad dan mereka tidak mampu untuk memberikan makanan mereka kepada ahli tentera PKM yang berada di dalam hutan.
2. Perang psikologi juga dibuat untuk mengumpan rakyat Tanah Melayu mendapatkan ganjaran untuk pendedahan setiap ahli PKM, dan dengan ganjaran untuk ahli PKM yang menyerah diri. Dianggarkan bahawa ganjaran sebanyak $5,000 untuk setiap ahli PKM yang menyerah diri, serta RM25,000 untuk sesiapa yang mampu menangkap Chin Peng.
3. Pembentukan Malaysia. Merdeka yang diisytiharkan pada 31-8-1957 juga telah menghalang alasan untuk PKM membentuk negara komunis yang diidamkan. Ini kerana penentangan mereka bukan lagi kepada pihak koloni, tetapi terhadap kerajaan anak watan. Ini telah membawa kepada mereka untuk membuat rundingan Baling dengan wakil UMNO.
4. Langkah untuk menyatupadukan kaum juga telah dibuat oleh UMNO, iaitu dengan gabungan MCA (Tan Cheng Lock), UMNO (Tunku Abdul Rahman), serta MIC (E.E.C. Tsuringam), tetapi langkah ini kurang berkesan dengan berlakunya Peristiwa 13 Mei ataupun rusuhan kaum yang berlaku pada tahun 1963.

PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948-1963

Persekutuan Tanah Melayu merupakan sebuah persekutuan 11 negeri di Tanah Melayu. Ia dibentuk pada 31 Januari 1948 oleh sembilan Negeri-Negeri Melayu dan dua penempatan British Pulau Pinang dan Melaka.

Antara 1946 dan 1948, 11 negeri ini membentuk tanah jajahan British yang dipanggil Malayan Union. Disebabkan bantahan orang Melayu, Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang mengembalikan kedudukan simbolik raja-raja Melayu.

Dalam persekutuan ini, walaupun negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British, Pulau Pianang dan Melaka kekal menjadi tanah jajahan. Seperti Malayan Union, persekutuan ini tidak dianggotai Singapura, yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian dari Malaya.

Persekutuan ini mendapat kemerdekaan daripada Negara-negara Komanwel British pada 31 Ogos 1957. Pada 1963, Persekutuan tanah Melayu bersama-sama dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (yang dinamakan semula sebagai Sabah) membentuk sebuah persekutuan baru bernama Malaysia. Singapura kemudiannya keluar dari Malaysia dan membentuk sebuah republik sendiri pada 9 Ogos 1965.

Ahli persekutuan

* Perlis
* Kedah
* Pulau Pinang
* Perak
* Selangor
* Negeri Sembilan
* Melaka
* Johor
* Pahang
* Terengganu
* Kelantan

Malayan Union

Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 selepas Perang Dunia II merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya.

Rasional untuk pembentukan Malayan Union

Seawal 1943, kerajaan British telah menubuhkan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II tamat. Unit perancangan tersebut mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi Malayan Union, sedangkan Singapura dikekalkan sebagai tanah jajahan yang berasingan.

Rancangan Malayan Union mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan disebabkan ketakutan bahawa penentangan orang Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan tersebut. Terdapat kesangsian tradisional di kalangan peniaga-peniaga Tanah Melayu bahawa sektor perniagaan Singapura akan menjejaskan kepentingan mereka. Selain itu, pihak British juga takut bahawa pemasukan dasar kewarganegaraan yang liberal akan mengakibatkan ketakutan pemimpin-pemimpin Melayu disebabkan bilangan orang Cina Singapura yang besar. Bagaimanapun, kerajaan British juga hendak menjadikan Singapura sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk operasi strateginya di Timur Jauh.

Kebanyakan buku-buku Inggeris menyatakan salah satu daripada sebab utama untuk pembentukan 'Malayan Union' ialah hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu terhadap kemerdekaan. Ia dilihat sebagai satu kewajaran kerana pihak British telah pun menandatangani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan bahawa semua negara-negara dunia berhak untuk menentukan dan memerintah negara sendiri dalam erti kata lain 'Merdeka', Maka, pihak Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun, banyak pihak di Tanah Melayu ketika itu mempercayai bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan menjadi sebuah tanah jajahan British. Di mana ia dilihat sebagai satu usaha untuk memanjangkan lagi tempoh penjajahan British di Tanah Melayu dengan cara berpura-pura berusaha untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, sedangkan kuasa pemerintah Tanah Melayu ketika itu, iaitu sultan-sultan telah pun dilucutkan melalui pembentukan Malayan Union.

Butiran utama Malayan Union

Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Sebaliknya pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Ini sekaligus menunjukan kedaulatan British di Tanah Melayu. Di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu. Dan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun.

Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum dan kepercayaan atau pun turut dikenali sebagai 'jus soli'.

Peringkat memperkenalkan Malayan Union

Cadangan untuk rancangan Malayan Union diumumkan oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, buat pertama kali di Parlimen United Kingdom pada Januari 1944. Wilayah-wilayah Borneo juga dimasukkan dalam rancangan yang asal tetapi pemasukan itu kemudian dikeluarkan daripada cadangan yang terakhir kerana merumitkan cadangan Union yang sudah cukup susah.

Pada musim bunga 1944, Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael, untuk pergi ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan daripda raja-raja Melayu. Sir Harold Macmicheal bukanlah seorang yang arif tentang Tanah Melayu, beliau tidak pernah berkhidmat di Tanah Melayu. Tetapi kerajaan British yang kerap menerima maklumat salah mengenai Tanah Melayu dan orang Melayu percaya bahawa Sir MacMicheal pernah berkenalan baik dengan beberapa putera-putera dari Tanah Melayu. Pada 3 September 1945, ketika pihak British sedang menjalani pendudukan semula di Tanah Melayu, Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.

Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. Mac Michael telah bertindak memaksakan sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia II. Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru dengan Sir Harold MacMicheal. Bagaimanapun, sebilangan daripada sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian itu, tetapi disebabkan oleh ugutan yang mendakwa pe baginda-baginda sultan memainkan peranan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah memaksa sultan-sultan itu untuk merelakan Malayan Union untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak British dan mereka juga bimbang akan kehilangan tahta. Tanpa disedari oleh sultan-sultan ini ialah semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan. Dengan itu, kepura-puraan pihak British bahawa mereka ingin membantu sultan-sultan Melayu untuk memerintah dihapuskan.

Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam suatu Kertas Putih pada akhir bulan Januari 1946.

Gerak balas daripada kaum Melayu

Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu, yang biasanya bersikap lemah lembut dan sering boleh di arah untuk melakukan itu dan ini telah bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pemimpin-pemimpin Melayu dan pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam di Tanah Melayu telah mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan membidas MacMichael kerana menggunakan 'ugutan' untuk memperolehi persetujuan daripada sultan-sultan Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak meLobi Tanah Melayu di Parlimen antara bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang mengambil bahagian adalah Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemard. Mereka turut menulis surat-surat kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada [[Perdana Menteri United Kingdom] agar menghentikan usaha menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada tanah jajahan. Kegiatan seumpama ini mewujudkan tanggapan bahawa terdapat tentangan yang hebat terhadap Malayan Unionbukan sahaja daripada penduduk Tanah Melayu malahan daripada pegawai dalaman British sendiri.

Sultan-sultan Tanah Melayu juga telah terpengaruh oleh perasaan anti Malayan Union yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai Melayu dan rakyat Melayu. ini mengheret baginda sultan untuk membantah secara terbuka terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan baginda-baginda untuk perjanjian baru itu. Sultan-sultan tersebut menolak rancangan Malayan Union dan cadangan untuk menghantar sutu perwakilan ke London untuk memansuhkan rancangan itu telah disuarakan. Bagaimanapun, sudut pandangan orang Melayu disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau PEKEMBAR yang telah muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

Pihak British sangat terperanjat dengan perubahan sikap masyarakat Melayu. Selepas pendudukan Jepun orang-orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang dari tanah seberang (ndonesia). Di atas kesedaran inilah Orang-orang Melayu telah bangun bersama-sama untuk menentang cadangan pihak British. Tindakan yang kemas telah dilancarkan melalui UMNO. Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama, malahan sultan-sultan negeri-negeri Melayu juga turut bersama-sama bergabung dengan rakyat Melayu untuk menentang Malayan Union. Satu perkara yang tidak pernah terjadi di Tanah Melayu sebelumnya.

Perjuangan orang-orang Melayu tidak terhenti setakat itu sahaja, orang Melayu turut mengadakan ceramah-ceramah umum di seluruh semenanjung untuk menyedarkan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Selepas menerima tekanan yang begitu kuat, pihak British yang masih ingin meneruskan Malayan Union mencadangkan satu jawatankuasa dihantar untuk melihat reaksi masyarakat Melayu. Ahli jawatankuasa tersebut telah terkejut melihat reaksi yang amat kuat dari orang melayu untuk menghentikan Malayan Union. di mana sahaja mereka pergi pasti disambut dengan ribuan umat melayu dengan slogan-slogan anti Malayan Union. Malahan mereka dan Gabenor Malayan Union ketika itu turut bersimpati dengan orang-orang Melayu. Pada akhir lawatan tersebut, ahli jawatankuasa terbabit telah mengambarkan sesuatu yang positif di dalam ucapan mereka. Ramai orang melayu dan UMNO sendiri yakin bahawa Malayan Union akan berkubur.

Penubuhan UMNO

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.

Pelaksanaan Malayan Union

Meskipun penentangan orang-orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan.

Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union adalah sangat kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama majlis tersebut telah dipulau oleh sultan-sultan Melayu. Ia adalah kesan daripada tindakan orang-orang Melayu yang telah berhimpun di luar rumah tumpangan yang didiami oleh sultan-sultan Melayu yang ingin menghadiri ucapara perlantikan tersebut. Ketika itu Orang-orang melayu telah bertindak berkabung dengan cara melilit kain putih pada songkok. Orang-orang Melayu yang berkumpul itu telah menghantar wakil mereka iaitu Dato' Onn Jaafar untuk berunding dengan sultan-sultan agar turut memulaukan upacara tersebut. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan tahta mereka, telah menyedarkan sekelian baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union. Akhirnya,Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 selepas itu untuk mengantikan Malayan Union yang telah gagal itu pihak British terpaksa menurut kehendak masyarakat Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk mengwujudkan Persekutuan Tanah Melayu . Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, melalui perundingan antara pihak British, sultan-sultan Melayu dan UMNO.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan suatu kemenangan untuk orang-orang Melayu tetapi disambut dengan kecewa oleh beberapa golongan-golongandi dalam etnik yang lain. Bagaimanapun, mereka yang menentang cadangan Persekutuan tidak mempunyai sokongan di Tanah Melayu sendiri. Serta lobi Parlimen dan penyokong-penyokong di London yang telah membantu dalam pembatalan skim Malayan Union. Orang-orang Cina yang berada di Tanah Melayu berasa dikhianati kerana mereka menganggap bahawa mereka telah membuat pengorbanan yang lebih besar berbanding orang Melayu dan merupakan golongan yang paling setia kepada pihak British sepanjang peperangan dengan Jepun. Sesetengah daripada orang Cina yang tidak puas hati kini melihat Parti Komunis Malaya sebagai harapan yang tunggal untuk mencapai sebuah kemerdekaan. Ini didasari oleh pendapat pihak British telah meminggirkan masyarakat cina Tanah Melayu.

Garis masa

* 14 Ogo 1941: Britain memeterai "Piagam Atlantik" yang mengisytiharkan hak negara-negara untuk penentuan diri.
* 1943: Pembentukan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II.
* Januari 1944: Cadangan untuk Malayan Union dikemukakan buat pertama kali oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, di Parlimen United Kingdom.
o Musim bunga: Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael untuk mengetuai perwakilan ke Tanah Melayu selepas peperangan untuk memperoleh perjanjian yang baru daripada sultan-sultan untuk bersetuju dengan Malayan Union.
* 03 Sep 1945: Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.
* 21 Dis 1945: Setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian baru untuk membentukkan Malayan Union.
* Januari 1946: Pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union melalui sebuah Kertas Putih.
* 1 Mac 1946: Kira-kira 200 orang Melayu yang mewakili 41 buah persatuan berhimpun di Kuala Lumpur untuk Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress). Kongres itu membincangkan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union.
* 01 Apr 1946: Malayan Union diisytiharkan oleh kerajaan jajahan British.
* 01 Mei 1946: Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Penubuhan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres ini juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.
* 01 Feb 1948: Malayan Union dibatalkan pada keseluruhannya dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu seperti yang telah dipersetujui dengan UMNO dan Raja-raja Melayu.

Rujukan

* Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya. A History of Malaysia, The MacMlllan Press Ltd. (1982). ISBN 0-333-276736.
* The World Book Encyclopedia, World Book International (1994). ISBN 0-7166-6694-4.

PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU 1941-1942

Pendaratan Jepun di Tanah Melayu berlaku secara sepantas kilat. Tempoh antara waktu konvoi Jepun berlepas dari Saigon, Indochina Perancis menuju ke arah selatan pada 6 Disember 1941 sehingga pendaratannya di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Disember 1941 cuma mengambil masa tiga hari. Mitos keunggulan ketenteraan British di Timur Jauh dimusnahkan dalam tempoh 69 hari sewaktu Singapura, yang merupakan pusat pangkalan Tentera British di Timur Jauh, melutut kepada kekuatan pihak Jepun pada 15 Februari 1942.
Pesawat A6M Zero tentera laut Jepun dari Flotia Udara ke-22 di Lapangan Terbang Kota Bharu selepas penawanannya.
Pesawat A6M Zero tentera laut Jepun dari Flotia Udara ke-22 di Lapangan Terbang Kota Bharu selepas penawanannya.

6 Disember 1941

Pada hari Sabtu, 6 Disember 1941, pegawai-pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat, yang membawa perutusan penting, masuk ke persidangan di Manila, Filipina antara Laksamana Thomas C. Hart, pegawai pemerintah Angkatan Asia Amerika Syarikat (U.S. Asiatic Fleet), dan Laksamana Sir Thomas Phillips, pemerintah Tentera Laut British, Timur Jauh.

Sebuah pesawat peninjau Lockheed Hudson Australia yang berpangkalan di lapangan terbang Tanah Melayu terjumpa konvoi Jepun yang berlepas dari Saigon, Indochina Perancis. Komander pesawat tersebut, Pegawai Penerbangan Ramshaw, melaporkan pada mulanya hanya tiga buah kapal belayar, diikuti selepas itu oleh sekurang-kurangnya 25 buah kapal pengangkut lain. Angkatan itu diiringi oleh sebuah kapal tempur, lima buah penjajap dan tujuh buah kapal pembinasa (Ramshaw tersilap melaporkan kapal penjajap berat sebagai kapal tempur). Pada pendapatnya, kapal-kapal tersebut tengah menuju ke arah Thailand yang berkecuali, atau ke Tanah Melayu.

Ini merupakan isyarat yang amat jelas kepada kedua-dua laksamana bahawa perang akan meletus. Kedua-dua laksamana itu bertindak dengan segera. Empat buah kapal pembinasa Amerika Syarikat di Balikpapan menerima arahan agar belayar ke laut lepas, sementara Laksamana Muda Arthur E.F. Palliser dan Panglima Besar Phillips menerima arahan agar memerintah HMS Repulse untuk membatalkan pelayarannya ke Darwin, Australia, dan kembali ke Singapura secepat mungkin. Lebih banyak perutusan mengenai konvoi Jepun tiba. Pesawat British diperintahkan agar melakukan lebih banyak penerbangan peninjauan lanjut, tetapi pihak Jepun bernasib baik pada hari itu kerana cuaca buruk menghalang pesawat British daripada berlepas. Pada pukul 7 petang, angkatan penjajahan Jepun bertukar arah dan belayar ke utara menujui Teluk Siam.

7 Disember 1941

Pasukan penyerang utama Jepun bagi penjajahan Tanah Melayu, Tentera Ke-25 di bawah pimpinan Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita, telah belayar daripada Pelabuhan Samah di Pulau Hainan pada 4 Disember 1941. Kapal tambahan yang membawa lebih banyak tentera bergabung dengan konvoi dari Saigon, Indochina Perancis. Pada kedua-dua hari 6 dan 7 Disember, pesawat Lockheed Hudson yang diterbangkan oleh Skuadron No.1 RAAF, Kota Bharu, dan Skuadron No.8 RAAF, Kuantan, menjumpai dan cuba mengekori kapal-kapal ini.

Pada 7 Disember, bot terbang PBY Catalina dari Skuadron No. 205 RAF yang diketuai oleh Pegawai Penerbangan Bedell, ditembak jatuh oleh pesawat Jepun semasa cuba memantau kemajuan angkatan Jepun. Pegawai Penerbangan Bedell dan anak-anak kapalnya menjadi korban Pihak Berikat pertama dalam peperangan menentangi Empayar Jepun. Pada pukul 10.00 malam., konvoi penjajahan Jepun berpecah ke arah kedudukan pendaratan yang telah diatur sebelumnya. Peperangan di Pasifik hampir bermula.

8 Disember 1941

Pada pukul 10.30 petang, persidangan ketua Pemerintah Tanah Melayu (Malaya Command) diadakan di Bilik Perang Pangkalan Tentera Laut di Singapura. Marsyal Udara Sir Robert Brooke-Popham, pegawai pemerintah kesemua pasukan British di Timur Jauh, teragak-agak untuk melancarkan Operasi Matador — penawanan Thailand Utara. Beliau memutuskan untuk melewatkan operasi tersebut, sekurang-kurangnya bagi malam itu. Ini kerana sekiranya beliau silap, ini akan mencetuskan perang dengan Thailand. Sebaliknya sekiranya beliau terbukti benar, tentera Thailand masih mungkin menentang kemaraan tentera British, dan persiapan logistik tentera British untuk bergerak masih belum bersedia sepenuhnya. Sejurus selepas tengah malam pada 7/8 Disember, sekumpulan pengawal India di Kota Bharu ternampak tiga bayangan besar, kapal pengangkut IJN: Awajisan Maru, Ayatosan Maru, dan Sakura Maru berlabuh sekitar 3 kilometer dari pantai Kota Bharu. Kapal-kapal tersebut membawa sekitar 5,200 orang askar daripada Detasmen Takumi, diketuai oleh Mejar Jeneral Hiroshi Takumi yang berada di atas kapal pengangkut IJN Awajisan Maru. Sebahagian besar daripada mereka merupakan bekas perajurit, yang pernah melalui beberapa bulan latihan lasak dan pertempuran di dalam hutan China. Tentera tersebut terdiri daripada:

* Rejimen Infantri Ke-56 (Kolonel Yoshio Nasu, di atas kapal pengangkut IJN Sakura Maru)
* sepasukan daripada Rejimen Meriam Gunung Ke-18 (Leftenan Kolonel Katsutoshi Takasu)
* Rejimen Kejuruteraan Ke-12 (Leftenan Kolonel Ichie Fujii)
* Divisyen Unit Isyarat Ke-18
* satu kompeni Rejimen Pengangkutan Ke-12
* satu kompeni Divisyen Unit Perubatan Ke-18
* Hospital Lapangan No. 2 daripada Divisyen Unit Perubatan Ke 18.

Mereka diiringi oleh angkatan pengiring yang kuat (Pasukan Penjajah Kota Bharu) di bawah pemerintahan Laksamana Muda Shintaro Hashimoto. Pasukan Penjajah Kota Bharu terdiri daripada penjajap ringan Sendai, kapal pembinasa Ayanami, Isonami, Shikinami, dan Uranami, kapal penyapu periuk api No. 2 dan No. 3, serta pemburu kapal selam No. 9.
Meriam yang digunakan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia II di Tanah Melayu.
Meriam yang digunakan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia II di Tanah Melayu.

Beberapa saat kemudian, pengawal pantai mendengar peluru meriam berterbangan di atas kepala mereka. Perang Dunia II di Pasifik telah bermula, semasa pesawat Jepun dari kapal induk Nagumo masih lagi dalam perjalanan bagi menyerang Pearl Harbor. Pesawat pendarat mulai dilepaskan sebaik sahaja kapal pengangkut berlabuh. Angin yang kuat dan laut bergelora menyukarkan operasi dan beberapa kapal kecil terbalik dan menyebabkan beberapa tentera Jepun lemas. Sungguhpun berhadapan dengan kesukaran sedemikian pada jam 12.45 pagi, gelombang pertama kapal pendarat yang mengangkut tentera di bawah pimpinan Kolonel Masu menghala ke pantai dalam empat baris. Briged Infantri India Ke-8 yang diketuai oleh Brigadier B.W. Key, sebahagian Divisyen Infantri British-India Ke-9, merupakan pasukan pertahanan utama di Kota Bharu, disokong oleh Pasukan Meriam Gunung Ke-21 yang terdiri daripada empat laras meriam katak 3.7 inci (Mejar J.B. Soper). Sebatalion Dogras Ke-3/17 bertanggungjawab mengawal sepuluh batu perbatasan Pantai Dasar Sabak yang termasuk dalam matlamat pendaratan Jepun. Tentera tersebut telah memasang periuk api dan kawat duri serta membina beberapa kubu kecil. Mereka disokong oleh Pasukan Meriam Lapangan Ke-73 daripada Rejimen Lapangan Ke-5, bersebelahan dengan lapangan terbang. Inilah detik-detik permulaan bagi Penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Pendaratan Jepun di Kota Bharu

Sejurus selepas tengah malam, tentera Jepun bergerak ke arah pantai yang dipertahankan oleh pasukan India British yang mengawal pantai. Pasukan meriam British mula membedil sepanjang kawasan persisiran pantai dan laut sewaktu telah jelas bahawa tentera Jepun sudah memulakan pendaratan mereka. Tembakan suar menerangkan kawasan pendaratan Jepun dan unit Dogra mula menembak ke arah pesawat pendarat sebaik sahaja pesawat itu diterangi suar. Usaha pertahanan dilakukan bersungguh-sungguh oleh unit Dogras tetapi mereka menghadapi tentangan yang sengit.

Kubu mesingan (MG) di pantai digunakan dengan berkesan terhadap tentera Jepun yang mula mendarat dipantai dan membunuh banyak askar Jepunm termasuk komander batalionnya, Mejar Nakamura, yang mengetuai orang-orangnya menyerbu kedudukan musuh. Kolonel Masanobu Tsuji menulis dalam bukunya mengenai Kempen Tanah Melayu: "Kubu-kubu kecil musuh yang disediakan dengan teliti bertindak dengan ganas dan sepenuh kekuatan sehinggakan orang-orang kami terbaring di pantai, separuh dalam air, separuh di pantai, tidak dapat mengangkat kepala mereka". Tidak sehingga tentera Jepun memusatkan serangan mereka terhadap dua buah kubu kecil dan parit pertahanan sokongan yang menguasai kawasan pendaratan, barulah mereka menguasai tempat mendarat.

Dalam pertempuran secara berhadapan, tentera Jepun berjaya menumpaskan tentera India British yang bertahan kawasan penting ini. Semasa pertempuran ini berlaku, gelombang penyerang kedua tersangkut di pantai terbuka dihujani tembakan meriam British yang mengakibatkan jumlah korban yang teruk. Bagaimanapun, sebaik sahaja kubu kecil telah dimusnahkan, pasukan ini mampu bergerak ke hadapan dan mebolosi kedudukan Dogra. Walaupun membuat serangan balas, kedudukan supai India tidak dapat dipertahankan lagi dan pasukan pertahanan mula berundur.

9 Disember 1941

Serangan udara RAF

Setelah diberitahu mengenai kehadiran pasukan penjajah beberapa batu di utara landasan pesawat mereka, pegawai kanan tentera udara di Kota Bharu meminta kebenaran untuk melancarkan serangan. Apabila telah jelas bahawa tentera Jepun mula mendarat, Skuadron Hudsons No. 1 mula berlepas untuk mengebom pesawat pengangkut. Gelombang pertama, yang terdiri daripada tujuh buah pesawat dan diketuai oleh Leftenan Penerbangan Lockwood, melakukan serangan pertama sekitar 02.10 pagi.

Leftenan Penerbangan O.N. Diamond Skuadron No. 1 memilih kapal pengangkut terbesar dan mengebom junam. Menurutnya, dua butir bom 250 paun dilepaskan dalam serangan pertamanya tepat kena, dan dalam serangan kedua, baki dua butir bomnya turut mengenai pesawat tersebut sebelum pesawatnya terkena tembakan dan terbakar. Kapal itu ialah kapal pengangkut IJN Awajisan Maru (9,794 tan) yang merupakan kapal Jepun yang pertama bagi semua saiz yang ditenggelamkan dalam Perang Dunia II. Skuadron No. 1 RAAF terus melakukan pengeboman. Sejumlah 17 serangan dilancarkan, mendarat, mengisi bom dan berlepas kembali sehingga 05.00 pagi. Kapal pengiring tentera Jepun melepaskan tembakan anti pesawat yang sengit, menembak jatuh sekurang-kurangnya dua pesawat Lockheed Hudson itu dan merosakkan tiga yang lain.

Salah sebuah pesawat yang rosak yang dipandu oleh Leftenan Penerbangan Leighton-Jones dilaporkan menjunam tepat ke sebuah pesawat pendarat yang berisi sarat. Walaupun menerima tembakan anti pesawat yang hebat, anggota Hudson melancarkan serangan mereka dengan penuh bersemangat. Kesemua kapal pengangkut dilaporkan dihujani peluru dengan beberapa buah terbakar. Kolonel Masanobu Tsuji, pegawai di bawah Ibu Pejabat Yamashita, menggambarkan laporan yang beliau menerima daripada Kota Bharu: "Tidak lama kemudian, pesawat musuh dalam formasi dua dan tiga mula menyerang kapal pengangkut kita, yang mulai berasap dan terbakar". Menjelang 04.30 pagi komander pengiring, bimbang dengan jumlah kerosakan yang dilakukan oleh RAAF, mengemukakan permohonan untuk berundur.

Mejar Jeneral Takumi membantah dan berjaya menegaskan bahawa beliau perlu memperkukuhkan tenteranya di pantai dan hanya pada pukul 06.00 (pagi), kedua-dua kapal pengangkut dan pengiring berundur ke utara. Awagisan Maru ditinggalkan marak terbakar dan ditakdirkan menjadi kapal Jepun pertama ditenggelamkan dalam peperangan, terlalu rosak untuk belayar. Kira-kira jam 02:00 pagi pada 8 Disember, lapangan terbang Kuantan menerima isyarat bahawa tentera Jepun cuba mendarat di Kota Bharu. Skuadron No. 8 membentukkan empat penerbangan tiga buah Hudson dengan penerbangan pertama pada jam 06.30 pagi.

Pesawat Hudson yang dikendalikan oleh Leftenen Penerbangan G. Hitchcock menyerang kapal pengangkut IJN, tetapi dilitupi asap pada 08.00 pagi disebabkan sebahagian daripadanya rosak, ditembusi empat puluh tiga butir peluru tetapi kembali ke Kuantan dengan selamat. Leftenen Penerbangan "Spud" Spurgeon dalam A16-41 mengebom kapal tetapi terpaksa mendarat hempas di Kota Bahru, akibat kerosakan pesawat Hudsonnya. Leftenen Penerbangan Russell Bell pula mengalami kerosakan hidraulik, akibat terkena peluru pada pesawat Hudson A16-81nya dan menerbang ke Seletar daripada Kota Bharu. Daripada 12 buah pesawat dalam serangan ini, lima rosak dengan satu mendarat hempas di Kota Bharu.

Jepun berjaya mendarat

Pada masa ini, pesawat pejuang tentera Jepun yang sebelum ini sibuk melindungi pendaratan utama di Thailand, mulai sampai dan serangan lanjut oleh RAF Blenheims, terbukti sukar. Juga menjelang waktu pagi di sebalik usaha Skuadron No. 1, tentera Jepun berjaya mendaratkan pasukan penjajah mereka. Pada pukul 10:30 pagi, pasukan Jepun akhirnya tiba ke Kota Bahru.

Setibanya waktu pagi, Mejar Jeneral H. Takumi berjaya mendaratkan sejumlah tiga batalion penuh. Brigadier Key cuba menyerang balas dengan segala kekuatannya tetapi apabila gagal, beliau mulai berundur. Apabila telah menjadi jelas bahawa pada waktu siang lapangan terbang tempatan tidak dapat dipertahankan, Key, yang telah diperintahkan untuk berjuang pertempuran penafian (battle of denial ), bukannya sehingga titisan darah terakhir memohon, dan menerima kebenaran untuk berundur.

Tentera Jepun yang disokong oleh tentera yang baru mendarat, memaksa tentera India British berundur sehingga ke kawasan Kuala Lipis dan maju ke utara untuk menawan bandar Kota Bharu pada jam 2 petang pada 9 Disember.

Kedua pihak mengalami korban yang besar semasa pertempuran. Tidak terdapat rekod korban British, tetapi pastinya besar. Rekod korban Jepun berbeza dengan banyaknya. Louis Allen menyebut sumber Jepun meletakkannya sebagai 500 orang. Daripada ini, 150 dialami oleh tentera masih dalam kapal pengangkut, sedangkan baki 350 semasa perjalanan singkat ke pantai atau semasa di pantai. Sementara itu pula, Kolonel Tsuji menulis dalam bukunya bahawa 320 orang askar Jepun terkorban serta 538 orang tercedera dalam pertempuran itu dan menggelarkan Kota Bharu sebagai "salah satu kawasan pertempuran yang paling ganas dalam Kempen Tanah Melayu".

* Lihat juga: Penjajahan Jepun di Tanah Melayu

Turutan Masa

Rencana utama: Turutan Masa Kempen Penaklukan Jepun Di Tanah Melayu

Rujukan

* Rencana daripada Tapak web Kempen Hindia Timur Belanda 1941-1942 yang diterjemahkan oleh Yosri dengan kebenaran.

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak 1941-1945

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak merupakan satu turutan pertempuran yang singkat tetapi sengit dan merupakan satu detik perubahan antara pemerintahan daripada orang putih (British) kepada pemerintah Jepun. Ini merupakan konsep baru yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran orang-orang Melayu umum — pemerintahan oleh bangsa lain selain daripada mereka yang berkulit putih — sebelum
8 Disember - 18 Disember 1941

Rencana utama: Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu

Jepun mendarat di Pantai Padang Pak Amat sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941, dan mencetuskan pertempuran hebat antara tentera India British dan tentera Jepun, hanya sejam sebelum berlakunya Serangan ke atas Pelabuhan Pearl. Pertempuran itu merupakan detik rasmi permulaan Perang Pasifik serta merupakan permulaan sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu. Pihak Jepun mengalami jumlah korban yang tinggi tetapi gelombang demi gelombang penyerang menyerbu ke pantai sehingga pihak British terpaksa berundur. Dari situ, mereka bergerak dan menawan lapangan terbang Kota Bharu. Pada masa yang sama, pihak Jepun menyerang Singapura, Hong Kong dan Pelabuhan Pearl melalui udara.

Pihak Jepun berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Patani, Butterworth dan Alor Star pada 9 Disember 1941. Pada 10 Disember 1941, kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse bergerak di persisiran timur Tanah Melayu menuju ke arah tempat pendaratan Jepun yang dilaporkan di Kuantan. Tanpa perlindungan udara, pesawat Jepun menyerang dengan gelombang demi gelombang dan berjaya menenggelamkan kedua-dua buah kapal tersebut. Kehadiran Tentera Laut British dihapuskan dalam masa yang singkat.

Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Salah satu bergerak ke pantai timur menuju ke Kuantan, dan satu lagi ke selatan menujui Sungai Perak. Pada 11 Disember 1941, pihak Jepun mulai mengebom Pulau Pinang.

Jitra jatuh ke dalam tangan Jepun pada 12 Disember 1941, dan kemudiannya Alor Star pada hari yang sama. Tentera British terpaksa berundur ke selatan. Pada 16 Disember 1941, pihak British meninggalkan Pulau Pinang kepada pihak Jepun yang mendudukinya pada hari yang sama.

19 Disember 1941 - 31 Januari 1942

Tentera Jepun mara ke selatan dan menawan Ipoh pada 26 Disember. Penentangan sengit terhadap kemaraan Jepun dalam Pertempuran Kampar berlangsung selama tiga hari dan tiga malam antara 30 Disember 1941 sehingga 2 Januari 1942, sebelum Tentera British terpaksa berundur. Pada 7 Januari 1942, dua pasukan Briged India Tentera British dipintas dalam Pertempuran di Slim River yang memberikan tentera Jepun laluan mudah ke Kuala Lumpur, ibu negara Tanah Melayu. Pada 9 Januari, kedudukan pasukan British semakin terdesak dan Komander Jeneral Wavell memutuskan untuk mengundurkan keseluruhan Tentera British ke utara Johor, dan meninggalkan Kuala Lumpur yang ditawan tentera Jepun pada 13 Januari.

Barisan pertahanan British ditubuhkan di utara Johor antara Muar di barat sehingga Segamat, dan kemudiannya sehingga Mersing di sebelah timur. Briged Ke-45 ditempatkan di bahagian barat antara Muar dan Segamat. Pasukan Australia ditumpukan di tengah-tengah dan maju ke utara dari Segamat ke Gemas di mana mereka bertembung dengan pasukan tentera Jepun yang sedang mara pada 14 Januari 1942.

Pada 15 Januari, Divisyen Ke-15 yang merupakan pasukan tentera utama Jepun, tiba dan memaksa pasukan Australia berundur kembali ke Segamat. Tentera Jepun kemudiannya mara ke arah barat menuju ke arah Briged India Ke-45, dan dengan mudah mengalahkan mereka yang tidak berpengalaman dan masih mentah. Pihak British mengarah Batalion Ke-19 dan Ke-29 ke barat, dan batalion Ke-19 bertempur dengan pihak Jepun pada 17 Januari 1942 di selatan Muar.

Pertempuran berlanjutan sehingga 18 Januari, dan di sebalik cubaan Batalion Ke-19 dan Ke-29, Garis Pertahanan Johor roboh. Pihak Berikat terpaksa berundur menyeberangi Tambak Johor ke Singapura. Menjelang 31 Januari 1942, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke dalam tangan Jepun.

1 Februari - 15 Februari 1942

Lihat juga: Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu

Pihak Jepun menguasai angkasa dan mengebom Singapura secara bertalu-talu. Pemindahan orang awam berjalan, antaranya melalui kapal Felix Russell. Kapal itu berlayar pada 6 Februari dan berlabuh di Bombay, India, pada 22 Februari. Kapal lain seperti Empress Asia tidak begitu bernasib baik dan ditenggelamkan dalam perjalanan.

Divisyen Ke-18 British dan Divisyen Ke-11 India telah berundur ke Singapura secara berperingkat, bertempur kemudian berundur. Dalam proses tersebut, jumlah mereka berkurangan dengan banyaknya. Mereka digabung dengan unit lain dan ditempatkan di kawasan utara Singapura sepanjang persisiran timur laut. Penempatan meriam Jepun tersorok di dalam hutan berhadapan dengan Selat Johor. Meriam-meriam Jepun itu dapat dipindahkan dengan pantas melalui jalan yang baru dibina dalam hutan, dan dengan peta kedudukan musuh yang mereka memiliki, mampu bergerak dengan pantas ke kedudukan yang berkesan. Pada masa yang sama, pengeboman udara berterusan membakar kemudahan-kemudahan minyak yang dibimbangi akan dipergunakan untuk menjadikan Selat Johor sebagai lautan api.

Pada 7 Februari 1942, pihak Jepun memulakan serangan mereka ke atas Singapura dengan mendarat di pulau kecil Pulau Ubin bagi menumpukan tembakan kencang pada Changi. Di sebelah barat laut tentera Australia dibom. Pada 8 Februari, tentera Jepun menjajah melalui barat laut, dan pertempuran jarak dekat secara berhadapan berlaku. Pada sebelah pagi 10 Februari, tentera Jepun berjaya menjejakkan kaki di pulau Singapura. Di barat laut Singapura, Rejimen Melayu yang diketuai oleh Leftenan Adnan bin Saidi dengan kelengkapan yang serba kekurangan, tetapi penuh bersemangat, berjuang menentangi bilangan musuh yang jauh lebih banyak daripada Divisyen Ke-18. Mereka menentang sehingga ketitisan darah terakhir dan hampir keseluruhan anggota mereka terkorban. Tentera Jepun kemudiannya mara ke sasaran berikutnya, iaitu lapangan terbang Tengah. Ketika pertempuran merebut lapangan terbang tersebut berlaku, serangan baru Jepun bermula dari arah muara Kranji sehingga Tambak Johor. Dari lapangan terbang Tenrah, pasukan tentera Jepun bergerak ke selatan dan pada 10 Februari 1942, Bukit Timah diserang dan akhirnya ditawan pada 11 Februari.

Pihak Berikat terpaksa berundur ke bandar Singapura di mana mereka dibom tanpa kasihan oleh tentera Jepun. Pada 15 Februari, tentera Jepun menumpu ke bandar. Tentera Pihak Berikat terus bertempur dengan gigih, tetapi mendapati diri mereka berada dalam keadaan semakin terdesak. Akhirnya, arahan diberikan untuk Pihak Berikat menyerah tanpa syarat. Pada 6.10 petang 15 Februari 1942, Jeneral Arthur Ernest Percival menandatangani dokumen menyerah diri.

Borneo Utara

Pada 1hb Januari 1942, tentera Jepun mendarat di Pulau Labuan. Matlamatnya untuk menakluk Borneo Utara dicapai dengan pantas. Pada 16hb Mei 1942, secara keseluruhannya negeri ini jatuh ke tangan Jepun. Di bawah pentadbiran Jepun, ia dibahagikan kepada dua bahagian; bahagian Persisiran Pantai Barat termasuk pendalaman dan bandar Kudat dinamakan Sheikai Shiu dan bahagian Persisiran Pantai Timur dinamakan Tokai Shiu.

Pendudukan ini ditentang oleh kumpulan-kumpulan guerila. Antara penentangan yang dilakukan adalah Guerila Kinabalu yang diterajui Albert Kwok di Persisiran Pantai Barat dan satu lagi dipimpin Datu Mustapha pada bahagian utara. Akan tetapi, Gerila Kinabalu terhapus dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai Kwok dan ahli-ahli sekutunya di Petagas pada tarikh 21hb Januari 1944.

Pembebasan daripada cengkaman Jepun bermula pada 9hb Jun 1945 apabila Divisi Kuasa Imperial Australia ke-9 menyerang kedudukan Jepun di Labuan.

Perang yang berlaku di Borneo Utara tamat dengan penyerahan kalah rasmi oleh Leftenen Jeneral Masao Baba di Pulau Labuan pada 10hb September 1945, Kolonel Elimus di Papar pada 15hb September 1945 dan Majer Akashi di Beaufort pada 17hb September 1945. Ini merupakan hasil pengeboman bersama Pasukan Perikatan (Australia, British, Amerika Syarikat dan New Zealand) yang dalam prosesnya juga memusnahkan bandar-bandar Sandakan, Jesselton dan Labuan.

PENENTANGAN MAT SALLEH TERHADAP BRITISH DI SABAH

Datu Mat Salleh, lebih dikenali dengan mudah sebagai Mat Salleh, merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam penentangan yang hebat terhadap penjajahan British di Sabah. Beliau pernah mengisytiharkan daerah Tambunan sebagai daerah di bawah kekuasaannya.

Mat Salleh ialah anak kedua dalam sekeluarga empat adik-beradik daripada suku Suluk Paitan. Ibunya daripada suku Bajau. Abangnya bernama Ali, sedangkan adik-adiknya bernama Badin dan Bolong. Isteri Mat Salleh yang bernama Dayang Bandang berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan.

Perjuangan

Datu Mohammad Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.

Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kampung Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896.

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat Berpiagam Borneo Utara bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni di Ambong.

Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan tentera yang lebih besar.

Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899, Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan peperangan tercetus kembali.

Dan akhirnya pada 31 Januari 1900, kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Dan peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya'.

Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

PERANG KELANG DI SELANGOR 1867-1874

Perang Kelang ataupun Perang Saudara Selangor berlaku dari tahun 1867 ke 1874 dan ia bermula dengan perbalahan di antara Raja Abdullah bin Raja Jaafar dan Raja Mahdi bin Raja Sulaiman.

Latar belakang

Pada tahun 1849 atau 1850, sultan Selangor ketika itu, Sultan Muhammad Shah meletakkan jajahan Kelang di bawah jagaan Raja Abdullah. Pada tahun 1866, Raja Abdullah kemudiannya telah memajak Kelang kepada dua orang saudagar dari Negeri-Negeri Selat yang bernama W.H. Read dan Tan Kim Cheng. Kedua-dua saudagar itu kemudiannya keluar memungut cukai daripada penduduk-penduduk Kelang. Salah seorang daripada penduduk tersebut adalah Raja Mahdi. Sebelum Raja Abdullah dilantik sebagai ketua Klang, ayah Raja Mahdi pernah menyandang kedudukan Raja Abdullah. Ini memberi Raja Mahdi satu kedudukan yang tinggi di kalangan orang Melayu di Kelang. Oleh itu, Raja Mahdi terasa terhina apabila orang luar datang mengutip cukai daripadanya. Dengan perasaan marah, Raja Mahdi enggan membayar cukai kepada dua saudagar dari Negeri-negeri Selat tersebut.

Pada tahun 1857, Sultan Muhammad mangkat dan Sultan Abdul Samad menaiki takhta Selangor. Keluarga sultan yang baru bersimpati dengan keadaan Raja Mahdi. Ini kerana Raja Abdullah bukan orang Selangor; beliau berasal dari Riau dan keluarga diraja lebih senang melihat orang Selangor memegang jawatan-jawatan tinggi di negeri sendiri. Bersama Raja Abdullah pula ialah anaknya, Raja Ismail. Sementara itu, sebahagian kumpulan-kumpulan kongsi gelap Cina memihak dengan Raja Abdullah dan sekumpulan lain berpihak kepada Raja Mahdi.

Peperangan dan Tengku Kudin

Tidak lama selepas peperangan bermula pada tahun 1867, Tengku Kudin dari Kedah berkahwin dengan salah seorang puteri daripada keluarga diraja Selangor dan Sultan Abdul Samad melantik Tengku Kudin sebagai pendamai. Walau bagaimanapun, usaha Tengku Kudin ditolak oleh Raja Mahdi. Tengku Kudin tersinggung lalu memilih untuk membantu Raja Ismail. Raja Abdullah kemudiannya meninggal dunia. Kehilangan Raja Abdullah diganti dengan kehadiran Yap Ah Loy, seorang rakan Tengku Kudin serta kapitan Cina yang berpengaruh yang telah bertanggungjawab membangunkan Kuala Lumpur. Dengan itu, Tengku Kudin, Raja Ismail dan Yap Ah Loy bersama-sama berusaha menentang Raja Mahdi.

Sementara itu, Negeri-Negeri Selat mula bergantung kepada kemakmuran ekonomi negeri Selangor. Selangor pada ketika itu merupakan salah satu negeri di Tanah Melayu yang menjadi pengeluar bijih timah terbesar di dunia. Akan tetapi, Perang Kelang membantutkan usaha untuk melombong bahan mentah tersebut. Oleh itu, British di Negeri-negeri Selat mahu membantu kerajaan Selangor memastikan bekalan bijih timah tidak tergendala. Pada masa yang sama, Tengku Kudin mempunyai hubungan rapat dengan British di Negeri-negeri Selat. Ini memberikan pihak British satu peluang untuk mempergunakan hubungan ini untuk mempengaruhi sultan Selangor. Ini menyebabkan British secara tidak langsung memihak kepada Tengku Kudin di dalam peperangan ini.

Sepanjang perang, Tengku Kudin telah memanggil 500 askar daripada Kedah untuk membantunya. Tentera upahan serta beberapa pegawai Eropah telah dibayar oleh putera Kedah itu. Pada tahun 1872, dengan bantuan bendahara Pahang, segerombolan tentera Pahang turun ke Selangor dan sekaligus, mengalahkan pihak Raja Mahdi.

Kemenangan Tengku Kudin tidak disenangi oleh keluarga diraja Selangor. Keengganan tentera Pahang untuk pulang serta tindakan orang Pahang memungut cukai sebagai pampasan atau upah perkhidmatan daripada Kelang telah memburukkan nama Tengku Kudin di mata sultan Selangor. Melihat dan memahami keadaan ini, Andrew Clarke terpaksa menghentikan rancangan British untuk mempengaruhi sultan Selangor untuk sementara.

Residen British

Situasi berubah pada bulan November 1873 apabila sebuah kapal dari Pulau Pinang diserang lanun berhampiran perairan Hulu Langat. Sultan mula bimbang dengan keselamatan negeri dan meminta Sir Andrew Clarke untuk membantu. Dengan permintaan itu, Andrew Clarke melantik seorang peguam dari Singapura bernama J.G. Davidson sebagai Residen British Selangor yang pertama. Beliau diterima baik oleh pembesar Selangor kerana ia merupakan sahabat karib Tengku Kudin. Tugas residen bertanggungjawab untuk menasihati sultan di dalam segala perkara kecuali hal-hal mengenai Islam dan adat resam Melayu.

Perang Klang tamat dengan rasminya pada tahun 1874. Keadaan ini telah memaksa Raja Mahdi melarikan diri keluar dari Selangor dan menetap di Johor. Beliau meninggal dunia di sana dan dimakamkan di Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru.

Rujukan

* Zainal Abidin bin Abdul Wahid; Khoo Kay Kim; Muhd Yusof bin Ibrahim; Singh, D.S. Ranjit (1994). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Sejarah Tingkatan 2. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 983-62-1009-1
* 1911 Encyclopædia Britannica. Malay States.
* Haji Buyong Adil; Sejarah Johor Dewan Bahasa dan Pustaka.

BRITISH DI MALAYSIA 1874-1946

Malaya British secara kurang tepat diperihalkan sebagai sekumpulan negeri di Semenanjang Tanah Melayu yang dijajah oleh British dari abad ke-18 dan ke-19 sehingga abad ke-20. Sebelum pembentukan Malayan Union pada tahun 1946, tanah-tanah jajahan ini tidak diletakkan di bawah sebuah pentadbiran tunggal yang disatukan. Sebaliknya, Malaya British terdiri daripada Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, dan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu. Malaya juga merupakan salah satu negeri naungan British yang paling menguntungkan disebabkan ia adalah pengeluar timah dan kemudiannya getah yang paling besar di dunia.

Malayan Union dibubarkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, sebuah persekutuan yang lebih besar yang dikenali sebagai Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Sabah, Sarawak dan Singapura.
Senarai kandungan

* 1 Penglibatan permulaan British dalam politik Melayu
o 1.1 Kedah dan Pulau Pinang
o 1.2 Melaka
o 1.3 Johor dan Singapura
o 1.4 Negeri-negeri Selat
o 1.5 Negeri-negeri Melayu Utara dan Siam
o 1.6 Perjanjian Pangkor and Perak
o 1.7 Selangor
o 1.8 Sungai Ujong, Negeri Sembilan
* 2 Tentangan
* 3 Perang Dunia II
* 4 Rujukan

Penglibatan permulaan British dalam politik Melayu

Pihak British mula-mulanya terlibat dalam politik Melayu ketika ia mencuba mengasaskan pos-pos perdagangan di Pulau Pinang, ketika itu sebahagian Kedah, pada tahun 1771, dan Singapura pada tahun 1819.

Kedah dan Pulau Pinang

Rencana utama: Sejarah Penang Moden

Pada pertengahan abad ke-18, syarikat-syarikat British boleh didapati berdagang di Semenanjung Tanah Melayu. Pada April 1771, Jourdain, Sulivan dan de Souza, sebuah syarikat British yang berpusat di Madras, India menghantar Sir Francis Light untuk berjumpa dengan Muhammad Jiwa Shah, sultan Kedah, bagi membuka pasaran perdagangan di negeri itu. Light juga merupakan kapten dalam Syarikat Hindia Timur Inggeris.
Georgetown, ibu kota Pulau Pinang. Di seberang selat ialah Seberang Perai (Province Wellesley) di tanah besar.
Georgetown, ibu kota Pulau Pinang. Di seberang selat ialah Seberang Perai (Province Wellesley) di tanah besar.

Pada waktu yang sama, Sultan Kedah menghadapi banyak ancaman luaran yang mencabar kuasa baginda di Kedah. Siam yang berperang dengan Burma melihatkan Kedah sebagai sebuah vasal, dan sering menuntut Kedah menghantar tentera bantuan. Bagaimanapun, Kedah berkeberatan bersekutu dengan Siam.

Melalui perundingan antara Sultan Kedah dan Light, Sultan Kedah bersetuju membenarkan syarikat Light membina sebuah pos perdagangan dan beroperasi di Kedah jika pihak British bersetuju memperlindungi Kedah daripada tekanan luaran. Light menghantar perutusan ini kepada orang atasannya di India. Bagaimanapun, pihak British memutuskan untuk menolak cadangan tersebut.

Dua tahun kemudian, Sultan Muhammad Jiwa mangkat dan diwarisi oleh Sultan Abdullah Mahrum Shah. Sultan baru itu terdesak dan menawarkan Light (yang merupakan wakil British) Pulau Pinang sebagai balasan untuk bantuan ketenteraan kepada Kedah. Light memberitahu Syarikat Hindia Timur Inggeris tentang tawaran sultan. Bagaimanapun, syarikat itu memerintah Light mengambil alih Pulau Pinang tanpa memberi sebarang jaminan bantuan ketenteraan yang dimintai oleh sultan. Light kemudian mengambil alih Pulau Pinang dan menjamin Sultan Kedah tentang bantuan ketenteraan walaupun ini bertentangan dengan kedudukan syarikatnya. Kemudian, syarikat itu membuat keputusan dan memberitahu Light bahawa mereka tidak akan memberi sebarang bantuan ketenteraan kepada Kedah. Pada Jun 1788, Light memberitahu Sultan Kedah tentang keputusan syarikatnya. Berasa ditipu, Sultan Kedah memerintah Light keluar dari Pulau Pinang tetapi Light menolak.

Penolakan Light menyebabkan Sultan Kedah mengukuhkan tenteranya dan mengubui Perai. Perai ialah pantai yang terletak di seberang sana Pulau Pinang. Menyedari bahaya itu, pihak British membakar kubu di Prai. Dengan kemenangan mereka, pihak British memaksa Sultan Kedah memeterai sebuah perjanjian yang membenarkan mereka menduduki Pulau Pinang. Sebagai balasan, Sultan Kedah akan menerima sewa tahunan sebanyak 6,000 peso Sepanyol. Pada 1 Mei 1771, Union Jack dinaikkan secara rasmi buat pertama kali di Pulau Pinang. Pada tahun 1800, Kedah menyerahkan Perai kepada pihak British dan Sultan Kedah menerima 4,000 peso lagi sebagai sewa tahunan. Pulau Pinang dinamakan "Prince of Wales Island", manakala Perai di namakan semula sebagai "Province Wellesley".

Pada tahun 1821, Siam menyerang Kedah serta menjarah ibu kota Alor Star dan menduduki negeri itu sehingga tahun 1842.

British mencerobohkan Kota A Famosa yang didirikan oleh Portugis atas alasan strategik.

Maklumat lanjut: Kesultanan Malacca

Dari abad ke-16 hingga awal ke-19, Melaka ialah tanah jajahan Belanda. Semasa Perang-perang Napoleon antara tahun 1811 dan 1815, Melaka, serupa dengan pegangan-pegangan Belanda yang lain di Asia Tenggara, berada di bawah jagaan British. Ini dilakukan untuk menghalang Perancis daripada menuntut hak milik Belanda di sana. Apabila perang berakhir pada tahun 1815, Melaka dipulangkan kepada Belanda. Pada tahun 1824, pihak British dan Belanda menandatangani perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian ini, antara yang lain, memindahkan Melaka ke pentadbiran British secara sah di sisi undang-undang. Perjanjian itu juga merupakan perjanjian tunggal yang membahagikan alam Melayu menjadi dua buah entiti yang berasingan dan menjadi asas kepada sempadan Indonesia-Malaysia kini.

Johor dan Singapura

Rencana utama: Penubuhan Singapura moden
Maklumat lanjut: Kesultanan Johor

Singapura Moden ditubuhkan oleh Sir Stamford Raffles dengan banyak bantuan daripada Mejar Farquhar. Sebelum menubuhkan Singapura, Raffles adalah Leftenan Gabenor Jawa dari 1811 hingga 1815. Pada tahun 1818, beliau dilantik sebagai Gabenor Benkulin. Menyedari bagaimana Belanda memonopoli perdagangan di Kepulauan Melayu, Raffles yakin bahawa pihak British memerlukan sebuah tanah jajahan perdagangan yang baru untuk menentang kuasa perdagangan Belanda. Penyelidikan berbulan-bulan membawanya ke Singapura, sebuah pulau di hujung Semenanjung Melayu. Pulau ini diperintah oleh seorang temenggung.

Singapura ketika itu di bawah penguasaan Tengku Abdul Rahman, Sultan Lingga-Riau, yang pula dikuasai oleh Belanda dan orang Bugis. Oleh itu, baginda tidak mungkin akan bersetuju dengan penubuhan sebuah pangkalan British di Singapura. Walau bagaimanapun, Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana kekandanya, Tengku Hussein atau Tengku Long, telah lama meninggalkan tempat asalnya untuk berkahwin di Pulau Pinang apabila Sultan Lingga-Riau, bapa mereka, mangkat pada tahun 1812. Menurut adat resam Melayu, seseorang putera harus berada di sisi sultan semasa sultan mangkat untuk melayakkan diri menjadi pewaris raja. Tengku Abdul Rahman berada di sisi bapa mereka ketika bapa mereka mangkat. Kekandanya tidak berpuas hati dengan perkembangan itu sementara temenggung Singapura lebih suka akan Tengku Hussein daripada adiknya.

Pihak British mengakui Tengku Abdul Rahman buat pertama kali sebaik sahaja mereka berada di Melaka. Bagaimanapun, keadaan itu kemudian berubah. Pada tahun 1818, Farquhar melawat Tengku Hussein di Penyengat, sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran dengan Bintan, ibu kota Kepulauan Riau. Di sana, rancangan-rancangan baru disediakan dan pada tahun 1819, Raffles membuat perjanjian dengan Tengku Hussein yang menyatakan bahawa pihak British akan mengakui Tengku Hussein sebagai pemerintah Singapura yang sah jika baginda membenarkan mereka mengasaskan sebuah pos perdagangan di sana. Perjanjian itu yang diratifikasi pada 6 Februari 1819 juga menyatakan bahawa Tengku Hussein dan temenggung akan menerima gaji tahunan daripada pihak British. Dengan pertolongan Temenggung, Raffles berjaya bertolak dari Penyengat ketika berpura-pura 'memancing ikan'. Selepas ketibaannya di Singapura, baginda dilantik dengan segera sebagai Sultan Singapura yang rasmi.

Belanda amat marah terhadap tindakan Raffles. Walau bagaimanapun, dengan pemeteraian Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Belanda menarik balik sebarang tentangannya terhadap kehadiran British di Singapura. Dengan perjanjian tersebut, Kesultanan Johor dibahagikan kepada Johor moden dan Kesultanan Riau baru.

Negeri-negeri Selat
Setem pos Negeri-negeri Selat dari tahun 1883.

Rencana utama: Negeri-negeri Selat

Selepas pihak British menguasai Singapura daripada pihak Belanda melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, British bertujuan untuk memusatkan pentadbiran Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Oleh itu, pada tahun 1826, sebuah rangka yang dikenali sebagai "Negeri-negeri Selat" ditubuhkan dengan Pulau Pinang menjadi ibu kotanya. Kemudian pada tahun 1832, ibu kotanya dipindahkan ke Singapura. Sementara tiga pegangan menjadi tulang belakang Negeri-Negeri Selat, Pulau Christmas, Kepulauan Cocos, Labuan dan Dinding di Perak kemudian diletakkan di bawah kuasa Negeri-negeri Selat.

Sehingga tahun 1867, Negeri-negeri Selat bertanggungjawab kepada pentadbir Syarikat Hindia Timur Inggeris di Kolkata. Bagaimanapun, para pentadbir Negeri-negeri Selat tidak berpuas hati dengan cara Kolkata menangani hal-ehwal mereka dan mereka merungut kepada London. Syarikat itu juga mencuba membatalkan taraf Singapura sebagai pelabuhan bebas pada tahun 1856.

Bagaimanapun, Syarikat Hindia Timur Inggeris dibubarkan pada tahun 1858 dan India dijadikan sebuah tanah jajahan. Disebabkan oleh kuasa Kolkata yang semakin merosot serta lobi para pentadbir Negeri-negeri Selat, tanah jajahan tersebut dikuasai secara langsung oleh Pejabat Kolonial di London dan diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan Diraja. Pengisytiharan itu memberikan Negeri-negeri Selat banyak kebebasan dan kuasa di dalam Empayar British.

Pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua, tanah jajahan dibubarkan dan diserap ke dalam Malayan Union sedangkan Singapura dipisahkan daripada Union tersebut dan dibentuk sebagai sebuah tanah jajahan baru. Malayan Union kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan pada tahun 1963, Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah persekutuan yang lebih besar, dengan pemasukan Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura.

Negeri-negeri Melayu Utara dan Siam

Tekanan British dan Perancis memaksa Siam untuk melepaskan tuntutannya terhadap wilayah Indochina dan Semenanjung Melayu.
Tekanan British dan Perancis memaksa Siam untuk melepaskan tuntutannya terhadap wilayah Indochina dan Semenanjung Melayu.

Rencana utama: Perjanjian Burney
Rencana utama: Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909
Maklumat lanjut: Sejarah Thailand (1768-1932)

Sebelum akhir abad ke-19, Syarikat Hindia Timur Inggeris hanya memberikan perhatian kepada perdagangan dan mencuba menjauhkan diri daripada politik Melayu dengan seberapa yang dapat. Bagaimanapun, pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu utara, khususnya Kedah, Terengganu, Kelantan dan Patani menghalangnya daripada berdagang dengan aman. Oleh itu, pada tahun 1826, pihak British melalui Syarikat tersebut memeterai sebuah perjanjian dengan raja Siam yang dikenali sebagai Perjanjian Burney. Keempat-empat negeri Melayu tidak hadir semasa pemeteraian perjanjian itu. Dalam perjanjian itu, pihak British mengakui kedaulatan Siam terhadap keempat-empat negeri tersebut. Sebagai balasan, Siam menerima pemilikan British terhadap Pulau Pinang serta Seberang Perai (Province Wellesley) dan membenarkan Syarikat berdagang di Terengganu dan Kelantan tanpa halangan.

Hampir seratus tahun kemudian, sebuah perjanjian baru yang kini dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Siam 1909 atau Perjanjian Bangkok 1909 dimeterai antara kedua-dua kuasa. Dalam perjanjian baru ini, Siam bersetuju untuk melepaskan tuntutan mereka terhadap Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan, manakala Patani dikekalkan sebagai sebuah wilayah Siam. Perlis yang pada suatu masa merupakan sebahagian Kedah dipisahkan daripada Kedah semasa pemerintahan Siam. Bagaimanapun, daerah Satun di Kedah diilhakkan oleh Siam melalui perjanjian tersebut. Patani sebaliknya dipecahkan menjadi Patani, Yala dan Narathiwat selepas pemeteraian perjanjian itu.

Walaupun Raja Chulalongkorn dari Siam berkeberatan memeterai perjanjian itu, tekanan Perancis yang semakin meningkat di sempadan timur Siam memaksanya bekerjasama dengan pihak British. Serupa dengan Rama IV, Chulalongkorn berharap bahawa pihak British akan meninggalkan Siam sendirian jika baginda menyetujui tuntutan-tuntutan British. Lebih awal pada tahun 1893, Siam telah hilang kawasan Shan di Myanmar timur laut kepada pihak British. Garisan tanda sempadan ini sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian masih dikekalkan pada hari ini sebagai Sempadan Malaysia-Thailand.

Sultan-sultan Melayu tidak mengakui perjanjian tersebut. Bagaimanapun, baginda-baginda itu terlalu lemah untuk menentang pengaruh British. Selepas Perjanjian Bangkok, George Maxwell dihantar oleh pihak British ke Kedah sebagai penasihat sultan. Pihak British mengambil alih perancangan dan pelaksanaan ekonomi secara berkesan. Landasan kereta api dibina untuk mengaitkan Kedah dengan Siam pada tahun 1912, sedangkan reformasi tanah diperkenalkan pada tahun 1914. Hanya pada tahun 1923 bahawa sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Syah, menerima seorang penasihat British.

Perlis mengalami keadaan yang serupa. Rajanya tidak mengakui perjanjian 1909 tetapi pihak British merupakan pentadbir de facto negeri itu. Hanya pada tahun 1930 bahawa rajanya, Raja Syed Alwi, mengakui kehadiran British di Perlis dengan penerimaan Meadows Frost sebagai Penasihat British pertama di Perlis.

Perjanjian Pangkor and Perak

Rencana utama: Perjanjian Pangkor 1874

Perak adalah sebuah negeri di pantai barat Semenanjung Melayu dan pada abad ke-18 dan ke-19, negeri itu dijumpai kaya dengan timah. Sebenarnya, Perak mempunyai mendapan aluvium timah yang terkaya di dunia. Pada waktu yang sama, Eropah sedang mengalami sebuah revolusi perindustrian dan ini menyebabkan permintaan timah yang besar. Pihak British serta juga Belanda sedang aktif di negeri-negeri itu, dengan setiap mereka mencuba memonopoli pengeluaran timah serta komoditi-komoditi lain yang kurang penting. Bagaimanapun, suasana politik di Perak sentiasa bergolak hebat dan ini mengakibatkan kenaikan kos pelombongan timah. Umpamanya pada tahun 1818, Siam memerintah Kedah untuk menyerang Perak. Kekurangan keselamatan di Perak memaksa pihak British untuk melindungi Perak pada tahun 1826.

Semasa Perak meningkatkan operasi pelombongan secara berterusan, negeri itu mengalami kekurangan buruh. Untuk mengatasi masalah ini, Long Jaafar, seorang pentadbir Melayu, menjemput orang-orang Cina dari Pulau Pinang untuk bekerja di Perak, khususnya di Larut. Menjelang dekad 1840-an, jumlah penduduk Cina di Perak meledak. Pendatang-pendatang baru sering merupakan ahli kongsi gelap Cina. Dua kongsi gelap terbesar ialah Ghee Hin dan Hai San. Kedua-dua kumpulan ini selalu mencuba menambah pengaruh mereka di Perak dan ini sering mengakibatkan pertempuran kecil. Pertempuran-pertempuran kecil itu mencapai tahap yang tidak dapat dikawali, dengan Menteri Besar Ngah Ibrahim juga tidak dapat menguatkuasakan kedaulatan undang-undang dengan berkesan.


Pada masa yang sama, terdapat perebutan kuasa di istana Perak. Sultan Ali mangkat pada tahun 1871. Pewarisnya adalah raja mudanya, Raja Abdullah. Walaupun demikian, beliau tidak menghadiri pengebumian ayahnya. Amat serupa dengan kes Tengku Hussein dari Johor, Raja Abdullah tidak dilantik sebagai sultan yang baru oleh menteri-menteri Perak. Sebaliknya, pewaris yang kedua selepas Raja Muda, iaitu Raja Bendaraha Raja Ismail, menjadi sultan Perak.

Raja Abdullah amat marah dan enggan menerima hakikat ini. Beliau mencuba mendapatkan sokongan politik daripada berbagai-bagai sumber, termasuk ketua-ketua tempatan Perak serta banyak kakitangan British yang pernah berurus niaga dengannya sebelum itu. Kongsi-kongsi gelap dipergunakan untuk menjadi proksinya dalam perebutan kuasa tersebut. Antara individu-individu British tersebut ialah W.H.M. Read, seorang pedagang British. Tambahan pula, Raja Abdullah berjanji akan menerima seorang penasihat British jika pihak British mengakuinya sebagai sultan Perak yang sah.

Malangnya Raja Abdullah, gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu, adalah Sir Harry Ord, seorang kawan Ngah Ibrahim. Ngah Ibrahim mempunyai beberapa masalah yang belum diselasaikan dengan Raja Abdullah. Dengan pertolongan Ord, Ngah Ibrahim menghantar askar-askar supai dari India untuk menghalang Raja Abdullah daripada menuntut takhta dan pada setakat tertentu, mengawal kongsi-kongsi gelap Cina.

Menjelang 1873, Pejabat Kolonial di London menganggap Ord sebagai seorang gabenor yang tidak cekap. Tidak lama kemudian, beliau digantikan dengan Sir Andrew Clarke yang diperintah memberi gambaran keseluruhan tentang apa yang terjadi di negeri-negeri Melayu serta mencadangkan bagaimana memperkemas pentadbiran British di Tanah Melayu. Alasan keputusan ini adalah kerana London semakin sedar bahawa Negeri-negeri Selat semakin bergantung kepada ekonomi negeri-negeri Melayu, termasuk Perak. Sebaik sahaja Clarke tiba di Singapura, banyak pedagang British, termasuk Read, berapatan dengan gabenor baru ini. Melalui Read, Clarke mendapat tahu tentang masalah Raja Abdullah dan kesanggupannya untuk menerima seorang wakil British di dalam istananya jika pihak British membantu bekas pewaris raja itu.

Clarke terus merebut peluang untuk mengembangkan pengaruh British. Pada mula-mulanya, beliau memanggil semua kongsi gelap dan mendesak supaya mereka mencapai kedamaian yang tetap. Kemudian, melalui pemeteraian Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Clarke mengisytiharkan Raja Abdullah sebagai sultan Perak yang sah. Dengan segera, J.W.W. Birch dilantik sebagai Residen Perak. Raja Ismail, walaupun tidak merupakan salah satu pihak perjanjian tersebut, dipaksa turun takhta, akibat tekanan Clarke yang sungguh kuat.

Selangor

Maklumat lanjut: Perang Klang

Bersama-sama dengan Perak, Selangor yang merupakan lagi sebuah negeri Melayu yang terletak di sebelah sempadan selatan Perak, juga mempunyai banyak mendapan timah di sekitar Hulu Selangor di utara, Hulu Klang di kawasan tengah, dan Lukut yang berdekatan dengan Negeri Sembilan di selatan. Pada sekitar tahun 1840, pelombongan timah menjadi sebuah industri yang besar di bawah pimpinan Raja Jumaat dari Riau. Usaha Raja Jumaat diganjar oleh Sultan Muhammad dari Selangor yang melantik beliau sebagai pentadbir Lukut pada tahun 1846. Menjelang dekad 1850-an, kawasan ini muncul sebagai salah satu petempatan yang paling moden di Semenanjung Melayu, jika Negeri-negeri Selat tidak diambil kira. Pada suatu ketika, terdapat tidak kurang daripada 20,000 orang buruh yang kebanyakannya merupakan orang Cina yang diimport dari China. Raja Jumaat meninggal dunia pada tahun 1864, dan kematiannya mengakibatkan kekosongan pimpinan. Perlahan-lahan, Lukut merosot dan dilupakan.

Sementara itu, Hulu Klang mencapai pertumbuhan yang tidak pernah berlaku dahulu, disebabkan oleh pelombongan timah. Antara tahun 1849 dan 1850, Raja Abdullah bin Raja Jaafar, sepupu Raja Jumaat, dilantik sebagai pentadbir Klang oleh Sultan Selangor. Semasa kepentingan ekonomi Lukut perlahan-lahan merosot, ekonomi Hulu Klang sedang memuncak. Ini menarik banyak buruh, khususnya pendatang-pendatang Cina yang pernah bekerja di Lukut, untuk berpindah ke sini. Seorang yang bertanggungjawab untuk memujuk orang-orang Cina untuk berpindah dari Lukut ke Hulu Klang ialah Sutan Puasa dari Ampang. Beliau membekalkan lombong-lombong jajahan di Hulu Klang dengan berbagai-bagai barang, termasuk beras dan candu. Ketika Hulu Klang menjadi makmur, banyak petempatan lain mula ditubuhkan. Salah dua daripada petempatan-petempatan yang baru ini ialah Kuala Lumpur dan Klang menjelang akhir dekad 1860-an. Seorang kapitan Cina yang bernama Yap Ah Loy memainkan peranan yang penting dalam perkembangan Kuala Lumpur.

Seperti yang terjadi di Perak, perkembangan yang pesat ini banyak menarik minat pihak British di Negeri-negeri Selat. Ekonomi Selangor menjadi terlalu penting kepada kemakmuran Negeri-negeri Selat sehingga sebarang kekacauan di negeri itu akan menjejaskannya. Oleh itu, pihak British berasa bahawa ia memerlukan hak bersuara dalam politik Selangor. Kekacauan utama tunggal yang merupakan sebuah perang saudara ialah Perang Klang yang bermula pada tahun 1867.

Pada November 1873, sebuah kapal dari Pulau Pinang diserang oleh lanun berhampiran dengan Kuala Langat, Selangor. Sebuah perbicaraan diadakan dekat Jugra dan lanon-lanon yang disyaki dihukum mati. Sultan Selangor melahirkan rasa bimbang dan meminta bantuan daripada Sir Andrew Clarke. Mula-mulanya pada tahun 1874, Frank Swettenham telah diarahkan untuk bertindak sebagai penasihat Sultan Selangor. Lebih kurang setahun kemudian, seorang peguam dari Singapura yang bernama J.G. Davidson dilantik sebagai Residen British di Selangor. Walaupun Frank Swettenham juga dicalonkan untuk jawatan Residen itu, beliau dianggap terlalu muda.

Perang Saudara tamat pada tahun 1874.

Sungai Ujong, Negeri Sembilan


Negeri Sembilan merupakan lagi satu pengeluar timah yang utama di Tanah Melayu. Pada tahun 1869, perebutan kuasa antara Tengku Antah dan Tengku Ahmad Tunggal berlaku ketika kedua-dua putera itu berhasrat untuk menjadi Yamtuan Besar (pemerintah Negeri Sembilan) yang berikut. Pertikaian antara kedua-dua putera ini membahagikan gabungan dan mengancam kebolehpercayaan pembekalan timah dari Negeri Sembilan.

Sungai Ujong, sebuah negeri dalam gabungan, khususnya merupakan tapak bagi banyak lombong tempatan yang penting dan yang dikuasai oleh Dato' Kelana Sendeng. Bagaimanapun, Dato' Bandar Kulop Tunggal, ketua suku kaum tempatan, lebih berpengaruh berbanding dengan Dato' Kelana, dan menerima banyak sokongan daripada orang-orang tempatan serta juga daripada pendatang-pendatang Cina yang bekerja di lombong-lombong Sungai Ujong. Kepopularan Dato' Kelana yang terhad memaksanya bergantung kepada lagi seorang ketua suku kaum yang bernama Sayid Abdul Rahman untuk sokongan. Sayid Abdul Rahman adalah Laksamana Raja Laut bagi gabungan tersebut. Hubungan yang tegang antara Dato' Bandar dan Dato' Kelana mengakibatkan banyak kekacauan di Sungai Ujong.

Bagaimanapun, tahun-tahun sebelum 1873 merupakan tahun-tahun yang agak tenteram ketika Dato' Kelana terpaksa memberi lebih banyak perhatian kepada Sungai Linggi kerana Rembau, lagi sebuah negeri di dalam gabungan, mencuba merampas Sungai Linggi daripada kuasa Sungai Ujong. Negeri Sembilan ketika itu dikaitkan dengan Melaka melalui Sungai Linggi, dengan jumlah perdagangan yang besar melalui Sungai Linggi setiap hari. Sesiapa yang menguasai Sungai Linggi akan memperoleh banyak kekayaan hanya melalui cukai.

Pada tahun 1873, Dato' Kelana Sendeng meninggal dunia, dan Sayid Abdul Rahman menjadi Dato' Kelana baru. Bagaimanapun, kematian Dato' Kelana Sendeng tidak menyebabkan perbaikan hubungan antara Dato' Kelana dan Dato' Bandar. Sebaliknya, keadaan merosot. Dato' Kelana yang baru berasa amat risau terhadap pengaruh Dato' Bandar yang tidak terkawal dan mencari cara-cara untuk membalas kuasa musuhnya.

Apabila pihak British bertukar kepada dasar tidak campur tangan pada tahun 1873 dengan menggantikan Sir Harry Ord dengan Sir Andrew Clarke sebagai gabenor baru Negeri-negeri Selat, Dato' Kelana dengan segera menyedari bagaimana pihak British dapat mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong. Dato' Kelana tidak membazir masa dan dengan cepatnya berhubung serta melobi pihak British di Melaka untuk menyokongnya. Pada April 1874, Sir Clarke merebut permintaan Dato' Kelana sebagai cara untuk membina kehadiran British di Sungai Ujong khususnya dan Negeri Sembilan umumnya. Sir Clarke mengakui Dato' Kelana sebagai ketua Sungai Ujong yang sah. Pihak British dan Dato' Kelana memeterai sebuah perjanjian yang mendesak Dato' Kelana supaya memerintah Sungai Ujong dengan adil, melindungi pedagang-pedagang, serta menghalang sebarang tindakan yang menentang pihak British di sana. Dato' Bandar tidak dijemput untuk memeterai perjanjian ini dan oleh itu, beliau berkata bahawa beliau tidak terikat kepada perjanjian tersebut. Tambahan pula, Dato' Bandar dan orang-orang tempatan tidak bersetuju dengan kehadiran pihak British di Sungai Ujong, dan ini mengakibatkan Dato' Kelana menjadi lagi tidak popular di sana.

Tidak lama kemudian, sebuah kumpulan yang diketuai oleh William A. Pickering — dari Kawasan Naungan Cina di Negeri-negeri Selat — dihantar ke Sungai Ujong untuk menaksir keadaan bagi pihak Negeri-negeri Selat. Beliau mendapat tahu tentang kesusahan Dato' Kelana dan melaporkan hal ini kepada Negeri-negeri Selat. Ini memaksa pihak British menghantar 160 orang askar ke Sungai Ujong untuk membantu Pickering menewaskan Dato' Bandar. Pada akhir tahun 1874, Dato' Bandar melarikan diri ke Kepayang. Walaupun ditewaskan, pihak British masih membayarnya pencen serta memberi perlindungan kepadanya di Singapura.

Dengan lalunya masa, pengaruh British semakin meningkat sehingga seorang penolong residen dijawat untuk menasihati dan membantu Dato' Kelana dalam pemerintahan Sungai Ujong.