Wednesday, September 23, 2009

Khulafa ar-Rasyidin

Khulafa ar-Rasyidin atau Khulafa ar-Rasyidun (jamak kepada Khalifatur Rasyid) bererti wakil-wakil atau khalifah-khalifah yang benar atau lurus. Mereka waris kepimpinan Rasulullah selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w.. Perlantikan mereka dibuat secara syura iaitu perbincangan para sahabat atau pilihan khalifah sebelum. Selepas pemerintahan ini, kerajaan Islam diganti oleh kerajaan Ummaiyyah. Khulafa ar-Rasydin terdiri daripada empat sahabat:

* Saidina Abu Bakar, 632-634 M
* Saidina Umar Al-Khatab, (Umar І) 634-644 M
* Saidina Uthman Affan, 644-656 M
* Saidina Ali Abi Talib, 656-661 M

Selepas kematian Saidina Ali, pemerintahan jatuh kepada Muawiyah yang mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.


Hassan bin Ali dan Umar bin Abdul Aziz sering dikaitkan dengan Khulafa ar-Rasyidin.

Hassan bin Ali

Setelah ayahnya, Ali, meletakkan jawatan demi keamanan Muslimin, walaupun pucuk pemerintahan sudah diambil Muawiyah, penyokong Ali telah mengangkat Hassan sebagai khalifah di Iraq tetapi telah digulingkan oleh Muawiyah dalam tahun yang sama. Pilihan ini dirakam sebagai pilihan waris pertama dalam sejarah khalifah kerana tiada persetujuan am diadakan. Muawiyah kemudian memulakan zaman Ummaiyyah, zaman khalifah warisan yang pertama.

Umar bin Abdul Aziz

Beliau memang seorang khalifah pada zaman Ummaiyyah dan ternyata bukan antara Khulafa ar-Rasydin. Dikenali sebagai Umar ІІ, beliau juga dikenali sebagai seorang khalifah yang agung kerana menyerupai datuknya, Umar І (Saidina Umar Al-Khatab) dari segi sikap tegas tetapi adil dan kesentosaan yang dibawa kepada wilayahnya semasa wilayah itu sedang kucar-kacir; punca beliau diangkat untuk memerintah. Keagungan dan keadilan beliau menyebabkan beliau dikenali dalam sejarah yang disebarkan luas ke mana-mana Islam disebarkan. Hal ini menyebabkan beliau lebih terkenal daripada Hassan bin Ali dan disalahanggap sebagai antara Khulafa ar-Rasyidin.

Namun begitu para ulama' bersepakat dan mengakui mengatakan bahawa beliau adalah mujaddid bagi kurun pertama Hijrah

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq

Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali antaranya ialah golongan Syiah. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaiahkan Saidina Abu Bakar. Antara kejayaan yang diperoleh Saidina Abu Bakar ialah melancarkan kempen untuk menghapuskan golongan Riddah dan nabi palsu dalam siri Peperangan Islam-Riddah, pengumpulan Al Quran, dan berjaya menawan beberapa kawasan milik Empayar Parsi dan Byzantine.

Beliau wafat pada tahun 634.

Khalifah Umar al-Khatab

Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun 634 masihi. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.

Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Pada tahun 638, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut.

Saidina Umar banyak melakukan perubahan terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk, memberi upah kepada tentera & membuat jadual giliran bertugas, mewujudkan pejabat pos untuk surat menyurat, menyelaras aliran sungai untuk tujuan penanaman dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina.

Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah.

Khalifah Uthman Affan

Saidina Uthman menjadi khalifah selepas Saidina Umar Al-Khatab dibunuh pada tahun 644. Beliau memerintah selama dua belas tahun iaitu dari tahun 644 sehingga tahun 656. Antara pembaharuan yang dibuat ialah menubuhkan Angkatan Tentera Laut yang diketuai oleh Muawiyah dan membuat dasar terbuka dalam hubungan politik & urusan dagangan

Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran, sebahagian daripada Afrika Utara, dan Cyprus menjadi sebahagian daripada empayar Islam.

Saidina Uthman wafat pada tahun 656 akibat dibunuh oleh pemberontak yang tidak puas hati dengan pemerintahannya.

Khalifah Ali bin Abu Talib

Pada tahun 656 masihi, khalifah ketiga Islam iaitu Saidina Uthman Affan wafat kerana dibunuh di dalam rumahnya sendiri. Segelintir masyarakat kemudiannya mencadangkan Saidina Ali supaya menjadi khalifah tetapi Saidina Ali menolak. Tetapi selepas didesak oleh pengikutnya, beliau akhirnya menerima untuk menjadi khalifah.

Ketika pemerintahannya telah terjadi dua perang saudara di kalangan umat Islam iaitu Perang Jamal (Perang Unta) antara tentera pimpinan Saidina Ali dengan pengikut Aishah binti Abu Bakar, Zubair ibn Awwam dan Talhah ibn Ubaidillah yang mengakibatkan Zubair dan Talhah terkorban sementara Perang Siffin pula membabitkan penentangan Muawiyah yang ketika itu berpusat di Damsyik. Dalam peperangan ini, Ammar ibn Yasir terkorban. Penentangan ini berjaya ditamatkan apabila empayar Islam dipecahkan kepada dua.

Saidina Ali wafat pada tahun 661 akibat dibunuh ketika beliau hendak bersolat subuh.

Kronologi Khulafa al-Rasyidin

* 632 M - Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar dilantik menjadi
khalifah. Usamah mengetuai ekspedisi ke Syria. Kempen menentang Bani
Tamim dan Musailimah.
* 633 M - Pengumpulan Al Quran bermula.
* 634 M - Kewafatan Saidina Abu Bakar. Saidina Umar Al-Khatab dilantik menjadi
khalifah. Penaklukan Damsyik.
* 635 M - Penawanan Madain.
* 636 M - Penaklukan Syria, Mesopotamia, dan Palestin.
* 637 M - Mesir ditawan.
* 638 M - Penawanan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam.
* 640 M - Kerajaan Islam Madinah mula membuat duit syiling Islam.
* 644 M - Saidina Umar mati syahid akibat dibunuh. Saidina Uthman Affan menjadi
khalifah.
* 645 M - Kempen di Afrika Utara. Cyprus ditakluk.
* 646 M - Kempen menentang Byzantine.
* 647 M - Perang di laut menentang angkatan laut Byzantine. Empayar Parsi
ditumpaskan.
* 648 M - Pemberontakan menentang pemerintahan Saidina Uthman.
* 656 M - Saidina Uthman wafat akibat dibunuh. Saidina Ali Abi Talib dilantik
menjadi khalifah. Terjadinya Perang Jamal.
* 657 M - Saidina Ali memindahkan pusat pemerintahan daripada Madinah ke Kufah.
Perang Siffin meletus.
* 659 M - Saidina Ali menawan kembali Hijaz dan Yaman daripada Muawiyah.
Muawiyah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah Damsyik.
* 661 M - Saidina Ali wafat. Tamatnya pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Muawiyah
mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.

Abu Bakar as-Siddiq

Abu Bakar as-Siddiq (bahasa Arab: أبو بكر الصديق‎ Abū Bakr al-Siddīq) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah.

Kehidupan awal

Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. Beliau seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.

Menjadi khalifah pertama

Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.

Peperangan Islam-Riddah

Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.

Ekspedisi ke Utara

Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Syaidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

Pengumpulan al-Quran

Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan al-Quran semasa beliau menjadi khalifah.

Kewafatan Saidina Abu Bakar

Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru.

Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.

Sumbangan Saidina Abu Bakar

Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam.

Umar Al-Khattab

Saidina Umar ibni al-Khattab (Arab, عمر بن الخطاب) (c. 581 - November, 644), kadang-kadang dipanggil juga sebagai Umar al-Farooq ataupun Omar atau Umar ialah daripada Bani Adi iaitu salah satu golongan puak Quraisy. Dia menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa al-Rasyidun.

Kehidupan awal

Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Beliau juga berilmu iaitu merupakan perkara yang amat jarang pada masa tersebut dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya.

Selepas pengislamannya, beliau melahirkan rasa kesalnya terhadap peristiwa penanaman anak perempuannya secara hidup-hidup dahulu (perkara seperti ini ialah fenomena biasa di Tanah Arab sebelum kedatangan Islam).

Memeluk Islam

Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.

Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.

Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga.

Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.

Saidina Umar di Madinah

Saidina umar merupakan antara individu yang berhijrah ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Dia merupakan salah seorang daripada Sahabat Rasulullah s.a.w..

Pada tahun 625, anak perempuan Saidina Umar iaitu Hafsa mengahwini Nabi Muhammad s.a.w.

Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada tahun 632 masihi. Saidina Umar dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. sehinggakan beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas Saidina Abu Bakar (khalifah pertama umat Islam) berucap "Sesiapa yang menyembah Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah s.w.t., ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati." Saidina Abu Bakar kemudiannya membaca beberapa keping ayat Al Quran untuk mententeramkan umat Islam.

Saidina Abu Bakar dengan sokongan Saidina Umar menjadi khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun 634 masihi. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.

Pemerintahan Saidina Umar

Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada diantara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil.

Pada tahun 637, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat.

Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina.

Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.

Wafatnya Saidina Umar

Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah. Abu Lu'lu'ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.

Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya..

Uthman bin Affan

Uthman bin Affan (Arab: عثمان بن عفان) merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W. Ketika beliau menjadi khalifah, berlaku pertelingkahan dikalangan umat Islam mengenai cara bacaan Al-Quran. Disebabkan oleh itu Uthman bin Affan telah meminjam suhuf, (kumpulan penulisan Al-Quran daripada Hafsa. Selepas itu Uthman bin Affan telah memerintahkan empat orang sahabat untuk menyalin semula Al-Quran dalam bentuk yang sempurna yang dikenali sebagai Mushaf Uthman. Salinan Mushaf Uthman tersebut dihantar keseluruh pusat jajahan bagi mengantikan salinan-salinan yang lain.
Biografi

Saidina Uthman dilahirkan di dalam sebuah keluarga Quraish yang kaya di Makkah beberapa tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Dia ialah salah seorang daripada orang yang pertama sekali memeluk Islam dan amat dikenali kerana sifat dermawannya kepada orang yang susah. Beliau juga berhijrah ke Habshah dan kemudian penghijrahan dari Makkah ke Madinah.

Perkembangan Islam semasa Pemerintahan Saidina Uthman

Saidina Uthman menjadi khalifah selepas Saidina Umar Al-Khatab dibunuh pada tahun 644. Beliau memerintah selama dua belas tahun iaitu dari tahun 644 sehingga tahun 656. Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran, sebahagian daripada Afrika Utara, dan Cyprus menjadi sebahagian daripada empayar Islam. Adalah dikatakan bahawa Saidina Umar melantik saudaranya sebagai pentadbir jajahan baru Islam. Enam tahun pertama pemerintahannya dianggap aman manakala enam tahun terakhir pula dianggap keadaan huru-hara. Beliau juga berjaya menghabiskan usaha pengumpulan Al Quran yang dimulakan oleh Saidina Abu Bakar (khalifah pertama Islam).

Pandangan ahli Sunah mengenai Saidina Uthman

Menurut pandangan ahli Sunah Waljamaah, dia mengahwini dua orang puteri Rasulullah s.a.w. dalam masa yang berbeza. Saidina Uthman Radhiallahu An'hu juga telah dijanjikan syurga.

Pandangan Syiah mengenai Saidina Uthman

Golongan Syiah percaya bahawa Saidina Ali Abi Talib yang sepatutnya menjadi khalifah memandangkan beliau ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w.. Mereka percaya bahawa Saidina Uthman tamak dan mementingkan saudara sendiri dalam melantik pentadbir baru tanah jajahan Islam.

Ali bin Abi Talib

Saidina Ali Abi Talib (Arab: علي بن أبي طالب) ialah khalifah keempat Islam daripada Khulafa al-Rasyidin. Beliau juga ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w. selepas mengahwini anak perempuan Rasulullah s.a.w. iaitu Fatimah.

Kehidupan awal

Saidina Ali dilahirkan di Makkah pada tahun 598. Golongan Syiah percaya bahawa Saidina Ali dilahirkan di dalam Kaabah, tempat paling suci bagi orang Islam. Bapa Saidina Ali, Abu Talib ialah ahli puak Quraish dan juga ialah bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w.. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu daripada Allah s.w.t., Saidina Ali merupakan kanak-kanak pertama memeluk Islam.

Saidina Ali sentiasa menyokong Nabi Muhammad s.a.w. semasa kezaliman terhadap orang Muslim berlaku. Pada tahun 622 masihi, semasa peristiwa hijrah berlaku, Saidina Ali mengambil risiko dengan tidur di katil Rasulullah s.a.w. lantas berjaya mengelakkan satu percubaan membunuh.

Saidina Ali di Madinah

Semasa berlakunya Perang Badar, Saidina Ali menumpaskan seorang jaguh Quraish iaitu Walid ibni Utba di samping askar-askar Makkah yang lain. Selepas itu beliau mengahwini Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w.

Sepanjang sepuluh tahun Nabi Muhammad s.a.w. mengetuai penduduk Madinah, Saidina Ali senantiasa menolong dan membantu baginda demi kemajuan umat Islam.

Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 632 masihi, Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah pertama umat Islam. Adalah dikatakan bahawa Saidina Ali hanya menerima Saidina Abu Bakar enam bulan selepas Saidina Abu Bakar dilantik. Hal ini masih samar-samar.

Golongan Syiah percaya memandangkan Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu kepada Rasulullah s.a.w. maka beliaulah yang seharusnya dilantik menjadi khalifah. Ahli Sunah Waljamaah pula percaya perlantikan Saidina Abu Bakar merupakan sesuatu yang tepat sekali.

Menjadi khalifah ke-4

Pada tahun 656 masihi, khalifah ketiga Islam iaitu Saidina Uthman Affan wafat kerana dibunuh di dalam rumahnya sendiri. Segelintir masyarakat kemudiannya mencadangkan Saidina Ali supaya menjadi khalifah tetapi Saidina Ali menolak. Tetapi selepas didesak oleh pengikutnya, beliau akhirnya menerima untuk menjadi khalifah.

Pentadbiran Saidina Ali

Perkara pertama beliau lakukan selepas dilantik menjadi khalifah ialah dengan menghapuskan pemberontakan yang ketuai oleh isteri Rasulullah iaitu Ummul Mukminin Saidatina Aisyah, dan dua orang sahabat Nabi iaitu Talhah ibn Ubaidillah dan Zubair ibn Awwam. Pemberontakan itu berjaya ditumpaskan oleh Saidina Ali dalam Perang Jamal (juga dikenali sebagai Perang Unta). Dalam peperangan ini, Talhah dan Zubair terkorban manakala Saidatina Aisyah kembali ke Madinah.

Namun ada juga yang mengatakan: Keluarnya Aisyah bersama Thalhah dan Az Zubair bin Al Awwam ke Bashrah dalam rangka mempersatukan kekuatan mereka bersama Ali bin Abi Thalib untuk menegakkan hukum qishash terhadap para pembunuh Utsman bin Affan. Hanya saja Ali bin Abi Thalib meminta penundaan untuk menunaikan permintaan qishash tersebut. Ini semua mereka lakukan berdasarkan ijtihad walaupun Ali bin Abi Thalib lebih mendekati kebenaran daripada mereka. (Daf'ul Kadzib 216-217)

Selepas itu, Saidina Ali melantik gabenor-gabenor baru bagi menggantikan pentadbir-pentadbir yang dilantik oleh Saidina Uthman. Saidina Ali memindahkan pusat pentadbiran Islam daripada Madinah ke Kufah, Iraq. Kota Damsyik, Syria pula ditadbir oleh Muawiyah, Gabebor Syria dan saudara Saidina Uthman. Muawiyah telah dilantik sebagai Gabenor pada masa pemerintahan Saidina Umar lagi.

Muawiyah, yang menyimpan cita-cita politik yang besar, berpendapat bahawa siasatan berkenaan dengan pembunuhan Saidina Uthman adalah merupakan keutamaan bagi negara ketika itu dan beliau ingin mengetahui siapakah pembunuh Saidina Uthman dan pembunuh tersebut mestilah dihukum qisas. Bagi Saidina Ali, beliau berpendapat keadaan dalam negara hendaklah diamankan terlebih dahulu dengan seluruh penduduk berbaiah kepadanya sebelum beliau menyiasat kes pembunuhan Saidina Uthman. Muawiyah kemudiannnya menyatakan rasa kesal dengan kelambatan Saidina Ali menyiasat kematian Saidina Uthman, lalu melancarkan serangan ke atas Saidina Ali. Akhirnya terjadilah Perang Siffin di antara Muawiyah dan Saidina Ali. Di dalam peperangan ini antara para sahabat yang terlibat adalah Amru Al-Ash, Ammar ibn Yasir, Abdullah ibn Amru Al Ash, Abdullah ibn Abbas.

Ada di antara para sahabat bersikap berkecuali di dalam hal ini. Antaranya adalah Abdullah ibn Umar, Muhammad ibn Maslamah, Sa'ad ibn Abi Waqqas, Usamah ibn Zaid.

Muawiyah ibn Abu Sufyan

Muawiyah bin Abu Sufyan (602-680) ialah pengasas Kerajaan Bani Ummaiyyah. Dia menentang pemerintahan khalifah terakhir Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Ali Abi Talib (menantu dan sepupu Nabi Muhammad s.a.w.). Beliau menawan Mesir dan menjadi Gabenor Syria dan Mesir sehinggalah peristiwa pembunuhan Saidina Ali pada tahun 661. Beliau memerintah dari tahun 661 masihi sehingga tahun 680 masihi. Beliau juga dikenali sebagai Mu'awiyah I.

Biografi

Muawiyah dilahirkan pada tahun 602 masihi di dalam suku kaum Banu Abd Shams yang mana banyak antara mereka menentang Nabi Muhammad s.a.w. di Makkah. Mereka ini terus menentang Rasulullah s.a.w. sehinggalah hijrah nabi ke Madinah. Bapa Muawiyah yakni Abu Sufyan bin Harb ialah salah seorang yang benci akan Rasulullah s.a.w.

Muawiyah menjadi seorang Muslim sejak sebelum peristiwa pembukaan Kota Makkah tetapi menyorokkan status Islamnya daripada pengetahuan bapanya. Khalifah Muawiyah banyak diingati kerana khidmatnya di Syria. Dia juga terlibat dalam serangan ke atas tentera Byzantine di Syria.

Gabenor Syria

Selepas kematian saudaranya Yazid pada tahun 640, Muawiyah dilantik menjadi Gabenor Syria oleh Saidina Umar Al-Khatab (khalifah kedua Islam). Menjelang tahun 647, Muawiyah telah membina sebuah angkatan tentera yang cukup kuat untuk menangkis serangan Byzantine malah cukup kuat untuk menyerang Byzantine. Mereka juga berjaya menawan Cyprus (649) dan Rhodes (654) sambil berjaya menumpaskan tentera laut Byzantine di Lycia (655). Semua ini terhenti selepas Saidina Ali Abi Talib menjadi khalifah.

Pertikaian dengan Saidina Ali

Sebagai saudara Saidina Uthman Affan, Muawiyah merasakan penyiasatan berhubung dengan kematian Saidina Uthman sengaja dilambatkan oleh Saidina Ali. Perang Jamal dan Perang Siffin terjadi yang akhirnya Saidina Ali mendapat kejayaan dalam kedua-dua pertempuran.

Muawiyah kemudiannya mengadakan rundingan dengan Saidina Ali selepas kekalahannya dalam Perang Siffin. Dengan menggunakan tipu muslihat, Muawiyah berjaya mengelirukan sekumpulan pengikut Saidina Ali yang akhirnya menyebabkan Muawiyah menakluk Mesir.

Apabila Saidina Ali meninggal dunia akibat tikaman Ibn Muljam pada tahun 661, Muawiyah menguasai Syria dan Mesir di samping menguasai tentera teramai pada masa itu. Orang ramai di Madinah telah memilih Saidina Hasan sebagai khalifah pengganti Saidina Ali. Namun, untuk mengelakkan pertumpuhan darah orang-orang Muslim, Saidina Hassan, anak Saidina Ali dengan isteri pertamanya, Fatimah Zahra, telah mengiktiraf Muawiyah sebagai khalifah umat Islam dan bersara daripada politik.

Pemerintahan

Selepas menjadi khalifah, Muawiyah mengembangkan empayar Islam dari Mesir di barat sehingga Iran di timur. Khalifah Muawiyah juga melantik ramai bekas pegawai-pegawai Byzantine (Rom Timur) sebagai pegawai di kawasan baru jajahan Islam. Hal ini menjadikannya popular dan terkenal di Syria.

Legenda

Muawiyah terkenal dengan usahanya mencantikkan Damsyik, ibu kota Kerajaan Bani Ummaiyyah. Beliau juga pernah melakukan serangan ke atas Constantinople, ibu kota Byzantine walaupun gagal menawan kota terbabit. Kebanyakan orang Islam memuji tindakan Muawiyah yang mengembangkan empayar Islam dengan begitu luas sehingga mampu mengugat Constantinople.

Golongan Syiah pula percaya semua tindakan Muawiyah adalah penderhakaan dan percaya bahawa Muawiyah sepatutnya menyerah diri kepada Saidina Ali sahaja.

Muawiyah juga terkenal dengan pemerintahan sistem Monarki apabila Muawiyah melantik anaknya Yazid I menjadi khalifah lalu melanggar perjanjian dan perlantikan beliau bukan daripada sistem Syura.

Muawiyah mangkat pada 6 Mei, 680. Dia digantikan oleh anaknya Yazid I.