SEJARAH NEGERI KEDAH
Kerajaan Kedah Tua merupakan salah satu kerajaan awal terkenal yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar dan Kalagram. Menurut catatan I-Ching dari negara China, Kedah Tua juga disebut sebagai Cheh-Cha.
Kerajaan Kedah Tua diasaskan pada abad ke-5. Pada peringkat awal, Sungai Mas merupakan pelabuhan utama tetapi kemudian dipindah ke Lembah Bujang. Kedah Tua dipengaruhi oleh agama Buddha dan seterusnya diikuti oleh agama Hindu, pengaruh Hindu-Buddha ini boleh dibuktikan melalui peninggalan candi yang terletak di Lembah Bujang.
Gunung Jerai telah menjadi petunjuk atau panduan kepada pedagang luar untuk singgah di pelabuhan Lembah Bujang ataupun di Sungai Mas. Pelabuhan Kedah Tua telah menjadi tempat penukaran barang, tempat persinggahan dan tempat membaiki kapal pelayar dan pedagang dari Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah sebelum mereka meneruskan perjalanan mereka ke Timur. Ia juga menjadi pusat perdagangan pelbagai hasil tempatan yang dikumpul oleh penduduk tempatan seperti bijih timah, emas, beras, lada hitam, gading, damar, rotan, tanduk dan sebagainya. Walaupun ia adalah sebuah kerajaan samudera tetapi juga menjadi pengeluar padi terkenal kerana dikurniakan tanah pamah yang rata dan luas.
Kerajaan Keda Tua mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Sultan al-Mutawakil (847-861). Ini dapat dibuktikan melalui penemuan wang perak pada zaman Sultan al-Mutawakil, manik yang dibawa dari negara India dan barangan kaca dari Timur Tengah.
SEJARAH PERAK
Perak telah terbukti wujud pada zaman pra sejarah lagi. Dianggarkan negeri Perak telah diduduki oleh manusia zaman batu lama semenjak 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi lagi.
Senarai kandungan
* 1 Prasejarah
* 2 Asal Usul Nama
* 3 Kerajaan Purba
* 4 Lanjutan Kesultanan Melaka
* 5 Pusat pemerintahan
* 6 Istana Sultan Perak
* 7 Sistem Pemerintahan
o 7.1 Campurtangan Inggeris di Perak
o 7.2 Nasionalisme di negeri Perak
o 7.3 Ehwal Semasa Negeri Perak
* 8 Pautan luar
Prasejarah
Penemuan arkeologi di Kota Tampan di Lenggong membuktikan terdapatnya penempatan manusia Zaman Batu Lama Tanah Melayu.
Malah satu rangka fosil telah dijumpai yang digelar Perak Man. Jumpaan dari carigali menunjukkan negeri Perak diduduki secara terus menerus sepanjang Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam.
Selepas itu Perak juga dijangkakan mengalami zaman Hindu/Buddha, yang tersebar secara menyeluruh semua kawasan di Tanah Melayu.
Asal Usul Nama
Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama "PERAK" sebagai sebuah negeri yang besar.
* Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A'fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.
* Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. " Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri...", lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada 'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam keatas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.
* Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat saperti perak.
* Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.
Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama 'Negeri Perak' itu menggambarkan bahawa pemilihan nama "PERAK" itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris yang berkeliaran di merata perairan Nusantara ini.
Kerajaan Purba
Menoleh kembali ke zaman silam Negeri Perak akan terjelmalah berbagai-bagai gambaran cetusan sejarahnya yang menjadi mutiara pusaka bumi Perak yang tiada ternilai harganya. Sebagai salah sebuah Negeri Melayu yang tertua, Negeri Perak telah melalui liku-liku zamannya sejak sebelum menjelangnya tahun masehi lagi.
Sebelum munculnya nama "Negeri Perak" Kitab "Sejarah Melayu" ada menceritakan nama-nama kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang sekarangnya terletak di jajahan Dinding, Beruas dan Manjung yang masih kekal namanya hingga sekarang. Penemuan monumen-monumen bersejarah peninggalan zaman tersebut telah menggambarkan kegemilangan sejarahnya tersendiri yang masih tersembunyi dari penglihatan dan pengamatan generasi di zaman moden ini.
Lanjutan Kesultanan Melaka
Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya menetap di Kampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.
Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan di kurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak.
Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', bahtera Raja Muzzafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat di mudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Berbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru dengan melafazkan kata-kata :-
Selilit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular Saktimuna, Sebenarnya Aku keturunan Raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka....'
Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul 'JIN' yang sangat besar sahingga mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda.... Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku kedalam laut......
Maka Raja Muzzaffar pun mengambil mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.
Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.
Pusat pemerintahan
Pusat pemerintahan Sultan Perak adalah juga istana Sultan Perak. Istana sultan berubah-ubah dari Hilir Perak hingga ke Kuala Kangsar. Kebanyakan tempat-tempat ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak. Di sekitar Kampung Gajah memang banyak sekali makam-makam Sultan Perak.
Di antara pusat-pusat pemerintahan yang ada tercatat di dalam sejarah ialah :-
1. Tanah Abang - iaitu ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati ,di dalam Mukim Bota, Makam Sultan Muzzaffar Shah 1 (Sultan Perak Pertama)
2. Kota Lama Kanan
3. Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,Kampung Gajah
4. Semat dalam Mukim Senggang,
5. Bota Kanan atau disebut juga sebagai Brahman Indera
6. Pulau Tiga, Kampung Gajah
7. Pulau Cempaka Sari di Parit
8. Pulau Indera Sakti di kuala Sungai Kinta , Kampung Gajah
9. Pasir Pulai Indera Mulia , Kampung Gajah
10. Bandar Baharu , Kampung Gajah - pejabat JWW Birch , British
11. Pasir Panjang, Kampung Gajah
12. Durian Sebatang, Teluk Intan - Sultan Abdullah Muhamad Shah 1874
13. Sayong, Kuala Kangsar
14. Batak Rabit, Teluk Intan
dan akhir sekali di Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu semasa zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28.
Istana Sultan Perak
Istana Kayangan
Istana Kayangan
Pada peringkat awal ,tidak ada istana kukuh daripada batu yang dibina untuk Sultan Perak bersemayam. Istana Sultan Perak cuma rumah yang dibina daripada kayu yang bermutu tinggi sahaja yang dibina di tepi Sungai Perak. Kawasan tepi sungai Perak terutama di Hilir Perak ,kmemang tidak ada kawasan berbukit-bukau.
Apabila Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan dalam tahun 1877, baginda telah membuat istana di atas sebuah bukit berhampiran dengan Batang Hari kerana Sayong selalu sahaja di tenggelami air apabila Sungai Perak bah. Akhirnya bukit tersebut dinamakan Baginda dengan sebutan Bukit Chandan, gelarannya Seri Andalan.
Menurut ceritanya nama ini adalah mengambil sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya pada suatu hari gajah Kulub Chandan ini telah lari lalu Raja Idris (ketika itu sebagai Raja Muda) bersama juak-juaknya keluar mengikuti jejak-jejak gajah tersebut hingga sampai ke kaki Gunung Bubu. Setibanya disini baginda telah bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih. Dengan tidak semena-mena orang tua tersebut datang sembah lalu berkata...
" Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah tuanku membuat istana diatas bukit yangdi pinggir Batang Hari Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan tuanku itu...."
Diringkaskan cerita, maka Raja Idris pun ditabalkanlah menjadi Sultan Perak yang ke 28 dan segala pesanan 'orang tua' tersebut telah ditunaikan oleh baginda. Mulai dari tarikh itu kekal lah nama Bukit Chandan sebagai tempat terletaknya istana rasmi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
Sistem Pemerintahan
Di zaman pemerintahan silam, sistem pemerintahan Kesultanan Negeri Perak masih meneruskan konsep ketradisionalan Kesultanan Melayu Melaka dengan sedikit perubahan dan penyesuaian dengan keadaan negeri dan masyarakat. Sistem gelaran Orang-Besar-Besar Negeri masih mewarisi Kesultanan Melaka tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu dengan mengwujudkan gelaran-gelaran baharu saperti Orang Besar Lapan, Enam Belas dan Tiga Puluh Dua disamping mengekalkan konsep gelaran dan fungsi Orang Besar Empat Kesultanan Melaka. Tetapi gelaran Orang Besar Empat ini juga telah di ubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat dan sekarang gelaran ini di kenali sebagai :-
* Tengku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja wakil al Sultan Wazir Kabir.
* Tengku Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja.
* Tengku Orang Kaya Temenggung Paduka Raja.
* Tengku Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.
Di zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah jawatan Bendahara Paduka Raja telah disandang oleh Megat Terawis. Megat Terawis dikatakan berasal dari kerabat di raja Pagar Ruyong (Minangkabau) yang datang ke Perak bersama-sama Sultan Muzzaffar Shah dari Kampar. Sultan Muzzaffar Shah telah melantik beliau sebagai Bendahara bagi mengantikan Tun Muhammad setelah Megat Terawis berjaya menghapuskan Tun Saban yang bersengketa dengan baginda.
Corak pemerintahan tradisional ini walau pun dari kacamata barat dianggap sebagai amalam feudal yang tidak demokrasi tetapi jika diteliti dari segi pentadbirannya jelas menunjukkan bahawa sistem pemerintahan demokrasi telah lama dipraktikkan di Negeri Perak sebelum Inggeris menerjah masuk. Ini dapat dilihat dalam sistem perlantikan Sultan, pembesar negeri dan strultur pemerintahan itu sendiri.
Sejak dari perlantikan tersebut keturunan Megat telah memegang jawatan Bendahara Perak hinggalah akhir kurun ke 18 apabila Bendahara Megat Abu Kassim menyerahkan balik jawatan tersebut kepada Sultan Iskandar Zulkarnain kerana satu perbalahan.
Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat dilihat daripada catatan yang terdapat didalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda memerintah negeri. Syair "Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya" sebagaimana yang terdapat didalam hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan masyarakat di zaman tersebut.
Campurtangan Inggeris di Perak
Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran - iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di Semenanjung. Saperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran, struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja Muda Abdullah yang bersemayam di batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masaalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.
Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.
Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat di eksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka. Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka pada20 Februari 1874 berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.
Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung di pertanggung jawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa - Sistem Residen.
Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan di antara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan di patuhi oleh semua pihak dan tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan, J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk sangka atau perasaan curiga.
Orang Besar-Besar Perak dan Sulatn Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.
Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang di syaki telah di bakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah di serang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris saperti yang di lakukan di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.
Nasionalisme di negeri Perak
Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan Negeri Perak nama-nama saperti Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Che' Gondah, Ngah Ahmad, Laksamana Tun Mohamad Amin, Syahbandar, Che' Ngah Ibrahim dan lain-lain lagi disamping Sultan Abdullah sendiri sebagai penebus maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan Melayu. Ramai diantara mereka yang dihukum gantung dan di buang negeri di asingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi tetapi perjuangan mereka akan terus menjadi aspirasi generasi kini.
Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran yang berguna kepada Inggeris dalam merancanakan rancangan penjajahan mereka yang selanjutnya. Raja Yusuf telah diangkat sebagai Sultan Perak yang ke 27 (1877-1887) bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah dan Raja Idris yang menghakimkan perbicaraan kes pembunuhan Birch telah diangkat menjadi Raja Muda. Sistem pertadbiran negeri telah diperkemaskan lagi dan dipersesuaikan dengan dasar Inggeris. Pembesar-pembesar negeri yang tidak sesuai telah di pencenkan dan yang berkebolihan serta masih taat kepada pemerintah telah dijadikanpegawai bergaji tetap dan mesti bekerja untuk Inggeris atas nama titah perintah Sultan.
Ehwal Semasa Negeri Perak
Pembangunan ekonomi telah di lipatgandakan dengan pembukaan lombong-lombong baru yang lebih moden dan ladang-ladang getah dan ini telah menyebabkan munculnya bandar-bandar bary disekitar kawasan perekonomian. Bagi menghubungkan rangkaian bandar-bandar baru saperti Taiping dan Ipoh, jalan-jalan raya dan perkhidmatan keretapi telah diwujudkan. Bandar-bandar traditional Melayu telah ditinggalkan kesepian kerana segala kepentingan ekonomi dan urusan perniagaan telah tertumpu di sekitar kawasan yang baru di bangunkan oleh Inggeris. Maka terasinglah orang Melayu dan tinggal lah mereka kesepian dengan corak penghidupan lama mereka di kawasan pertanian, di kuala-kuala sungai dan bandar tradisional warisan mereka.
Penduduk-penduduk Perak telah berkembang pesat dengan penghijrahan beramai-ramai buruh-buruh kaum Cina dan India untuk mengusahakan sektor perlombongan bijih dan ladang getah. Maka daripada sinilah wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali daripada identiti kegiatan ekonomi masing-masing.
Negeri Perak sungguh beruntung kerana golongan-golongan Kerabat Di Raja saperti Sultan Idris, Raja Alang Iskandar (Sultan Iskandar Shah) dan Raja Sir Chulan masih lantang bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat yang di kekang penjajah.
Dalam menghadapi aliran perkembangan politik moden di pertengahan tahun 1940an hinggalah Tanah Melayu mengalami bahana Perang Dunia ke2, seterusnya detik-detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sejarah Negeri Perak berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu pada umumnya. Dalam hal ini negeri Perak telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang masih harum namanya menjadi kebanggaan generasi sekarang. Sehingga kini payungan di raja Kesultanan Perak masih utuh menaungi kemakmuran negeri dan menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan Negeri Perak Darul Ridzuan.
SEJARAH NEGERI PAHANG
Sejarah Negeri Pahang bermula sebelum didirikan kerajaan Melayu Melaka, wilayah bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu semuanya termasuk dalam kawasan kerajaan Pahang. Orang Jawa Majapahit zaman dahulu menyebut Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja. Pada awal kurun Masihi ke 16, pada permulaan terdirinya kerajaan Melayu Johor, sempadan Negeri Pahang Darul Makmur; di sebelahnya sampai ke Sedili Besar dan di utara sampai ke Terengganu; sempadan ke baratnya pula sampai ke Rembau, Selangor dan Perak. Negeri Pahang Darul Makmur sekarang ini di sebelah utara dan baratnya dilingkungi oleh banjaran gunung dan di sebelah timurnya terbentang Laut China Selatan.
Negeri Pahang Darul Makmur ialah sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu dengan keluasan 35,515 kilometer persegi. Kemasyhuran dan kehebatan namanya pada masa dahulu menjadi rebutan kerajaan yang ada di sekelilingnya. Pada masa ini Pahang adalah negeri di Semenanjung dengan terbahagi kepada sebelas daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut, Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Bera. Manakala penduduknya pula terdiri dari berbagai kaum dan bangsa.
Senarai kandungan
* 1 Asal Usul Nama Negeri Pahang
* 2 Pahang Zaman Pra-Sejarah
* 3 Pemerintahan Negeri
* 4 Pusat Pentadbiran Negeri Secara Ringkas
* 5 Sistem Perhubungan Awal Di Negeri Pahang
Asal Usul Nama Negeri Pahang
Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang,Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.
Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Tembeling.
Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu.Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu.Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan.Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.
Pahang Zaman Pra-Sejarah
Penyelidikan telah dibuat oleh ahli kaji purba secara ilmiah di beberapa tempat di Negeri Pahang Darul Makmur iaitu di gua-gua batu, di gunung-gunung, di tempat berhampiran dengan sungai, di tanah perlombongan lama dan juga di tempat lapang. Jumpaan benda purba terdiri daripada batu, tembikar, gangsa dan besi kuno buatan orang zaman purbakala.
Tempat tersebut ialah di gua batu kapur seperti Kota Tongkat, Kota Gelanggi dekat Jerantut; Gua Kecil, Raub; Gunung Senyum; Bukit Chintamanis, Karak; Sungai Lembing, Tersang, Kuala Lipis Sungai Selinsing Sungai Tui, Nyong, Teluk Lubuk Puai, Batu Pasir Garam, Bukit Jong dan Kg. Padi di persimpangan Sungai Tembeling dan beberapa tempat lagi di sepanjang Sungai Pahang. Antara benda purba yang dijumpai tertanam dalam tanah di negeri ini ialah barang dan perkakas yang dibuat daripada batu oleh orang zaman batu pertengahan (mesolithic). Barang-barang tersebut ialah kapak genggam, beliung dan pahat.
Ahli kaji purba menyatakan manusia zaman batu pertengahan yang mendiami Negeri Pahang Darul Makmur tinggal di gua batu dan gua-gua di gunung-ganang negeri ini dan mereka adalah kumpulan yang mula-mula datang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Tanah Besar Benua Asia. Rombongan Melayu Proto mendiami Semenanjung termasuk Pahang dan pulau-pulau Nusantara ialah dalam lingkungan 3,000 atau 2,000 sebelum Masehi.
Dari aspek pertanian, barang dan perkakas buatan orang zaman batu akhir yang telah dijumpai dalam tanah ialah benda yang berupa mata lembing, pisau, sabit, cangkul, tenggala dan lain-lain perkakas ganjil yang dibuat daripada besi zaman dahulu. Tempat yang dijumpai terutamanya di tepi Sungai Lembing, Teluk Lubuk Puai Jong tepi Sungai Lipis. Di Kampung Batu Pasir Garam di tepi Sungai Tembeling, dijumpai pecahan muka gendang zaman dahulu yang diperbuat daripada gangsa. Gendang gangsa ini digunakan oleh orang yang memakai kebudayaan gangsa.Dr. Linehan berpendapat gendang gangsa ini ditukangi di Indo-China dan dibawa dari negeri Funan ke Ulu Tembeling antara kurun Masihi ketiga iaitu dibawa bersama-sama dengan perkakas dari besi kuno (tulang mawas).
Mengikut ahli kaji manusia dan ahli sejarah, orang Melayu pesisir (DeutroMalays) ialah nenek moyang orang Melayu yang tinggal di daerah pantai Semenanjung Tanah Melayu. Pendek kata pada zaman dahulu kala selain daripada orang asli iaitu orang Semang dan puaknya di Negeri Pahang Darul Makmur telah didiami oleh manusia yang disebut dalam ilmu sejarah sebagai manusia zaman batu pertengahan, zaman batu akhir atau permulaan zaman gangsa lagi.
Pemerintahan Negeri
Menurut riwayat tua pemerintahan negeri ini dijalankan dengan cara pemerintahan beraja dari semenjak zaman dahulu kala membawa ke masa sekarang. Keturunan raja Melaka itulah yang lama sekali berkuasa di Negeri Pahang Darul Makmur dan pemerintahan daripada waktu itu memakai gelaran Sultan dan keturunan ini memerintah lebih dari 200 tahun semenjak daripada raja bernama Sultan Mahmud Shah yang masyhur di dalam Sejarah Marhum Mangkat Di julang dalam tahun 1699.
Setelah itu pemerintah Pahang pindah kepada keturunan Bendahara Tuan Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana Johor. Dari titisan keluarga dan zuriat ini juga telah menjadikan Negeri Pahang Darul Makmur terputus dari takluk Riau dan telah menubuhkan satu pemerintahan merdeka, berkuasa penuh sebelum ini, menjalinkan persahabatan dengan Sultan hinggalah sekarang ini.
Pusat Pentadbiran Negeri Secara Ringkas
Inggeris telah meluaskan kuasanya ke Negeri Pahang Darul Makmur, Residen pertama iaitu J.P.Rodger telah dilantik dalam bulan Oktober 1888. Perkara utama yang diberikan perhatian oleh Inggeris ialah menentukan tempat letaknya pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur. Tiga tahun kemudian iaitu dalam tahun 1891 pusat pentadbiran ini dipindahkan dari Pekan ke Lipis. Rancangan ini hanya untuk buat sementara sahaja tetapi rancangan yang dikatakan sementara itu telah memakan masa lebih dari 64 tahun kerana pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur hanyalah dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955.
Cadangan untuk pemindahan pusat pentadbiran ini telah dibuat semenjak tahun 1901 lagi, tetapi keputusan muktamad untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan diambil pada 2 Mac 1953; Bagi memilih tempat yang bersesuaian bagi pusat pentadbiran Negeri Pahang, pihak Kerajaan Negeri telah memusatkan pandangannya kepada dua kawasan iaitu Temerloh / Mentakab dan Kuantan. Tetapi disebabkan bentuk mukabumi Temerloh / Mentakab yang tidak rata dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pembangunannya maka Kuantan telah diputuskan untuk dijadikan ibu negeri Pahang Darul Makmur.
Pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur telah dipindahkan ke Kuantan pada hari Sabtu 27 Ogos 1955 dengan dirasmikan oleh KDYMM Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Abdullah Al Mu'tasim Billah, DK., SIMP., DK., SIMP., DK(Brunei)., DK(Johor)., DK(Perak)., SPDK(Sabah)., GCMG. Manakala pada 28 Februari 1970, bangunan pentadbiran pusat berpindah ke Wisma Sri Pahang.
Pahang juga mempunyai ramai pahlawan dan pendekar yang berjuang menentang penjajah di waktu sebelum kemerdekaan. Antara yang terkenal ialah Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, dan Pawang Nong. Pahang juga merupakan negeri melayu sejati seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Sistem Perhubungan Awal Di Negeri Pahang
Pada zaman dahulu di Negeri Pahang Darul Makmur sungai-sungai seperti Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Semantan dan cawangan-cawangan sungai itu serta beberapa buah sungai kecil yang lain telah digunakan sebagai jalan perhubungan. Begitu juga perhubungan antara Negeri Pahang Darul Makmur dan negeri-negeri lain di sekitarnya. Orang yang hendak pergi ke Kelantan ikut Sungai Tanum anak Sungai Jelai atau ikut Sungai Sat dan Sungai Sepia, kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Sungai Sepia itu boleh juga digunakan jika hendak pergi ke Negeri Terengganu. Perhubungan dengan Negeri Perak dihubungi oleh jalan-jalan yang lebih sukar iaitu ikut Sungai Bertam dan Sungai Lipis. Kedua-duanya adalah anak Sungai Jelai. Perhubungan dengan Negeri Selangor pula melalui Sungai Semantan dan cawangannya.
Jalan yang utama digunakan oleh orang pada zaman dahulu ialah jalan yang menghubungkan Negeri Pahang Darul Makmur dengan daerah-daerah di Hulu Muar dan Negeri Melaka. Jalan ini dari Negeri Pahang Darul Makmur ikut (mudik) Sungai Pahang; kemudian masuk ke sebuah anak Sungai Pahang yang bernama Sungai Bera, selepas itu ikut pula sebuah anak Sungai Bera bernama Sungai Serting. Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat sejauh tiga ratus ela, masuk pula Sungai Jempol, menghilir Sungai Jempol dan masuk ke Sungai Muar. Dari Muar bolehlah pergi ke Melaka dan tempat-tempat lain di barat Semenanjung Malaysia. Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah ia dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan (Kuala Muar) pada akhir tahun 1511. Jalan ini juga yang digunakan oleh Sultan Ali (putera Sultan Husain Shah Singapura) dari Kampung Umbai, Melaka yang pergi berjumpa Bendahara Wan Ahmad di Pahang (Pekan) pada tahun 1863.
Manuel Godinho de Erédia, seorang pengarang dan pegawai Portugis di Melaka (tahun 1613) menyatakan: "Dari Melaka jalan menempuh Penarikan itu boleh sampai ke Pahang (dan sebaliknya), hanya enam hari perjalanan".
Perahu jalak telah digunakan bukan sahaja membawa kargo dan barang-barang tetapi juga untuk membawa penumpang. Jalak boleh memuatkan dua belas penumpang dan lebih kurang 15 tan kargo. Dari Kuantan ke Kuala Pahang sewa yang dikenakan untuk satu perjalanan ialah $25.00. Syarikat Lombong Bijih Timah Sungai Lembing (PCCL) telah memulakan perkhidmatan harian antara bandar Kuantan dan Pasir Kemudi. Dari Pasir Kemudi penumpang dan kargo dibawa dengan keretapi ke Sungai Lembing.
Sebelum siap jalanraya dari Jerantut ke Kuantan, pegawai di Ulu Pahang yang hendak ke Kuantan akan menggunakan perahu atau rakit menghilir Sungai Pahang atau untuk pergi ke Pekan.
Setelah beberapa tahun kerajaan Inggeris mentadbir Pahang, usaha membina jalanraya pun dimulakan. Pada penghujung tahun 1910 jalan sepanjang 18 batu dari Kuantan menuju Ulu Pahang siap dibuka kepada orang ramai. Feri mula dibuka dan digunakan oleh orang ramai pada 5 September 1910 di Kuantan. Dalam tahun 1918 jalan raya Jerantut-Kuantan dapat dihubung terus ke Kuala Lipis. Hujung tahun 1933, jalan raya dari Pekan ke Kuantan dibuka dengan rasminya. Kemudahan perhubungan negeri ini terus maju dengan banyaknya pembinaan jalan raya, jambatan dan lapangan terbang serta pelabuhan. Kesemuanya ini dapat memendek dan memudahkan perjalanan serta perhubungan antara satu tempat dengan satu tempat di Negeri Pahang Darul Makmur di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura di sebelah selatan dan Thailand di sebelah utara.
SEJARAH NEGERI SELANGOR
Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan di antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi. Ini menyebabkan kaum Minangkabau yang lebih dulu (100 tahun awal) datang dari Sumatra terpaksa berpindah.
Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir serta Perang Kelang ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.
Pada 1896, Residen Frank Swettenham bertanggungjawab menyatukan Selangor dengan Negeri Sembilan, Perak dan Pahang untuk membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan ibu negeri Selangor, Kuala Lumpur sebagai pusatnya.
Negeri-negeri Bersekutu ini menjadi Persekutuan Malaya pada 1948 dan seterusnya Persekutuan Malaysia pada 1963. Pada 1974, Selangor melepaskan Kuala Lumpur kepada kerajaan persekutuan untuk dijadikan ibu negara. Ini terjadi semula pada Putrajaya pada 1995.
Kini, Selangor seluas 7,956 km persegi dan mempunyai penduduk yang paling banyak di Malaysia. Pada 2005, Menteri Besar Selangor mengumumkan status negeri maju terhadap Negeri Selangor Darul Ehsan.
RAJA-RAJA BUGIS DI SELANGOR
Raja-raja Melayu dan orang Bugis Luwok
Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil) yang memerintah Johor Riau-Lingga sabagai Sultan Ke-12, mendirikan pusat pemerintahan di Siak, Sumatera pada tahun 1718. Maka, Sultan Sulaiman I, Sultan Johor-Riau-Lingga ke-13 yang berketurunan Wangsa Bendahara, menggunakan orang-orang Bugis dari Luwok, Makassar kecil, yang berkampung di Kelang untuk mendapat balik kerajaan Johor-Riau-Lingga dari Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.
Sebaik sahaja orang Bugis menerima persetujuan dari Sultan Sulaiman I, angkatan Bugis Luwok terus datang dengan tujuh buah kapal menuju ke pusat kerajaan Johor-Riau di Riau untuk menyerang. Kerajaan Johor-Riau alah di dalam peperangan ini dalam tahun Hijrah 1134. Sebagai upahan, Sultan Sulaiman I bersetuju untuk melantik seorang Bugis Luwok menjadi Yamtuan Muda Riau di Riau, bagi mempertahankan agama dan kerajaan Johor, Riau dan Lingga diserang dari luar dan dalam.
Setelah Riau berjaya ditawan, orang-orang Bugis Luwok balik ke Kelang untuk mengumpulkan orang Bugis untuk menyerang kerajaan Johor-Riau yang telah dapat menawan Riau kembali dari Sultan Sulaiman 1; raja bendahara-bendahara. Sebaik sahaja mendapat tahu penawanan Riau oleh Raja Kerajaan Johor-Riau-Lingga, Bugis Luwok, dengan 30 buah kapal, menuju ke Riau untuk berperang sekali lagi. Di dalam perjalanan, mereka menawan Linggi, sebuah daerah di Negeri Sembilan yang ketika itu dibawah kuasa kerajaan Johor-Riau-Lingga. Setelah mendapat tahu tentang penaklukan itu, pasukan raja kerajaan Johor-Riau-Lingga segera ke Linggi untuk menyerang balas.
Pihak Bugis Luwok telah berpecah dimana 20 buah daripada kapal meneruskan perjalanan menuju ke Riau dan diketuai oleh tiga orang daripada mereka. Sultan Sulaiman I telah datang dari Terengganu dan turut serta memberi bantuan untuk menawan semula Riau. Dalam peperangan ini, mereka telah berjaya merampas kembali tapak kerajaan Johor-Riau di Riau dimana kemudiannya Sultan Sulaiman I mendirikan kerajaan baru Johor-Riau.
Setelah mengetahui penawanan tapak kerajaan Johor-Riau di Riau, Sultan A Jalil Rahmat Tengku Kecil Shah, raja kerajaan Johor-Riau-Lingga kembali ke Siak kerana baginda juga telah gagal menawan semula Linggi dari tangan Sultan Sulaiman I. Pada tahun 1729, Bugis Luwok sekali lagi menyerang raja kerajaan Johor-Riau-Lingga di Siak ketika Raja Kecil ingin memindahkan alat kebesaran Diraja Johor-Riau-Lingga (sebuah meriam) ke Siak. Setelah mengambil semula kebesaran Diraja tersebut, Sultan Sulaiman I kemudiannya naik takhta Johor-Riau-Lingga sebagai Sultan Johor dengan membawa gelaran "Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah" yang memerintah Johor, Riau, dan Lingga.
Sultan Sulaiman telah melantik Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Riau pertama dari Sapuloh. Kemudian adik perempuannya, Tengku Tengah, pula dikahwinkan dengan Daeng Parani yang mana suaminya telah mangkat di Kedah semasa menyerang raja kerajaan Johor-Riau Sultan A Jalil Rahmat Raja Kecil Shah disana. Seorang lagi adik Sultan Sulaiman Tengku Mandak dikahwinkan dengan Daeng Chelak (1722-1760).
Dalam tahun 1730-an, seorang Bugis bernama Daeng Mateko yang berbaik dengan raja kerajaan Siak mengacau ketenteraman Kelang; negeri Melayu yang diserahkan kapada orang Bugis Luwok sabagai upah membantu Sultan Sulaiman I mendapat kembali kerajaan Johor-Riau-Lingga. Ini menjadikan Daeng Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau. Daeng Mateko dapat dikalahkan dan kemudiannya beliau lari ke Siak. Semenjak itu, Daeng Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor.
Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimanapun, Daeng Chelak telah menamakan salah seorang daripada puteranya, iaitu Raja Lumu, datang ke Kuala Selangor. Waktu inilah datang rombongan anak buahnya dari Riau memanggil Daeng Chelak pulang ke Riau dan mangkat dalam tahun 1745.
Raja Lumu (1742-1778)
Tuhfat alNafis
Tuhfat alNafis
Daeng Lumu adalah punca kerajaan awal di Kuala Selangor. Daeng Lumu dilantik menjadi Yang DiPertuan Kelang pertama, dan Daeng Loklok dilantik menjadi Datuk Maharaja Lela.
Sultan Iskander Zulkernain (1752-1765), Raja Kerajaan Perak ke-15 pun menyambut utusan dari Daeng Lumu di Kuala Bernam sebagai pertemuan dengan baginda. Ketibaan Daeng Lumu disambut dengan penuh istiadat raja. Setelah semua ujian itu tidak mendatangkan apa-apa bencana terhadap Daeng Lumu, baginda Sultan Iskander Zulkernain pun mengesahkan perlantikan tersebut; setelah Sultan Sulaiman I, Raja Kerajaan Johor-Riau-Lingga menolak permohonan Bugis Luwok Diraja sabagai Raja Kelang. Pertabalan penuh sejarah itu dilakukan di Pulau Pangkor dalam tahun 1756. Selesai sahaja pertabalan, Raja Lumu pulang ke Kuala Selangor.
Itulah Raja Selangor yang pertama bersemayam di atas Bukit Selangor yang dikenal dengan nama "Bukit Malawati". Menurut Tuffatul al Nafis karangan Almarhum Raja Ali Al Haji, Riau, disitu ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu dijemput oleh Yang DiPertuan Perak untuk mengadap. Kemudian Raja Lumu pun berangkat pulang ke Kuala Selangor.
Kemangkatan Raja Lumu meninggalkan empat orang anak, iaitu Raja Ibrahim, Raja Nala, Raja Punuh dan Raja Sharifah. Baginda juga telah melantik seorang Bugis bernama Daeng Loklok bergelar Datuk Maharaja Lela Husain. Seorang daripada anak perempuannya bernama Cik Long Halijah berkahwin dengan Raja Ibrahim, putera Raja Lumu dan juga Raja Selangor Kedua.
Raja Lumu mangkat dan dikebumikan di atas Bukit Selangor dan dinamakan "Marhum Salleh". Baginda memerintah kerajaan Daeng Lumu adalah punca kerajaan awal di Kuala Selangor. Daeng Lumu dilantik menjadi Yang DiPertuan Kelang Pertama, Daeng Loklok dilantik menjadi Datuk Maharaja Lela.
Kemangkatan Raja Lumu meninggalkan empat orang anak, iaitu Raja Ibrahim, Raja Nala, Raja Punuh dan Raja Sharifah. Baginda juga telah melantik seorang Bugis bernama Daeng Loklok bergelar "Datuk Maharaja Lela Husain". Seorang daripada anak perempuannya bernama Cik Long Halijah berkahwin dengan Raja Ibrahim, putera Raja Lumu dan juga Raja Selangor kedua. Raja Lumu mangkat dan dikebumikan di atas Bukit Selangor dan dinamakan "Marhum Salleh". Baginda memerintah dari tahun 1743 (1756) hingga 1778.
Sultan Ibrahim (1778-1826)
Raja Ibrahim, putera sulung Sultan Salehuddin, dilantik menjadi Sultan Selangor kedua, adiknya Raja Nala dilantik menjadi Raja Muda dan dua orang yang lain menjadi Orang Besar bergelar di Selangor. Sultan Ibrahim dianggap seorang sultan yang berani berhati waja di samping mempunyai pengalaman yang melalui percampurannya semasa dari kanak-kanak lagi.
Bunga peperangan dan perang kecil sentiasa berlaku antara orang Bugis dengan orang Belanda sejak tahun 1740-an lagi. Api ini terus menyala selepas 14 Januari, 1784. Peperangan inilah yang mengakibatkan mangkatnya Raja Haji oleh Belanda, kemudiannya dimakamkan di Teluk Ketapang digelar "Marhum Ketapang".
Kemangkatan Raja Haji menimbulkan kemarahan Sultan Ibrahim menyebabkan Selangor terlibat secara langsung dari persengkitaan antara Belanda dengan Johor itu. Sebagai persiapan berjaga-jaga dari serangan Belanda terhadap Selangor, Sultan Ibrahim telah membina dua buah kota. Kota batu atas Bukit Selangor dan kota tanah di atas Bukit Tanjung.
Sangkaan ini tepat, pada 2 Ogos 1784, Belanda meyerang dan menakluki kedua-duanya kota tadi. Sultan Ibrahim dengan orang-orangnya lari ke Ulu Selangor, lalu ke Pahang menemui Bendahara Ab. Majid meminta bantuan.
SEJARAH TERENGGANU
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: navigasi, gelintar
Sultan Zainal Abidin III, Sultan Trengganu (1881 - 1918).
Sultan Zainal Abidin III, Sultan Trengganu (1881 - 1918).
Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang.
"Negarakartagama", tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah, terdapat manusia tinggal di situ sejak 4000 SM. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.
Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama, dihantar memerintah Terengganu. Seterusnya, Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.
Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis, karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.
Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).
Istana Maziah.
Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya, baginda berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746–1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
Sultan Mansur I digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II (1794–1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh beberapa sultan, termasuknya Baginda Omar.
Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan "Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918–1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920–1942).
Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu ke-16 yang memerintah negeri Terengganu sekarang.
Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu ke-16 yang memerintah negeri Terengganu sekarang.
Menurut "Warta Chahaya Timor No. 38" bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulung baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut "Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu" 1911.
Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran "Sultan Ismail Nasaruddin Shah". Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke–6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu, Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kesultanan Terengganu
* 1708-1733: Tun Zainal Abidin
* 1733-1794: Sultan Mansur I
* 1794–1808: Sultan Zainal Abidin II
* 1808–1830: Sultan Ahmad
* 1830: Sultan Abdul Rahman
* 1830–1831: Sultan Daud
* 1831–1837: Sultan Mansur II
* 1837–1839: Sultan Muhammad
* 1839–1876: Baginda Omar
* 1876–1881: Sultan Ahmad Shah II
* 1881–1918: Sultan Zainal Abidin III, putera Sultan Ahmad Shah II ;
* 1918–1920: Sultan Muhammad Shah II
* 1920–1942: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
* 1942-1945: Tengku Ali
* 1945-1979: Sultan Ismail Nasaruddin Shah
* 1979-1998: Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
* 1998-kini: Sultan Mizan Zainal Abidin
SEJARAH NEGERI KELANTAN
Negeri Kelantan yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada maharaja China itu.
Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Negeri Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginga Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Negeri Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Raja Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Negeri Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).
Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.
Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.
Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).
Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H), Baginda Long Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar adalah putera Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahndanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri Sultan Omar dan memerintah di Sening dekat Jembal.
Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Getting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu, dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.
Kemudiannya pada 1758M, Long Pendak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pendak membunuh isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletuskan peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Long Gaffar, putera kepada Raja Reman di Hulu Perak. Dalam peperangan pada 1762M, Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi mengenang jasa Long Gaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan Negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.
Senarai kandungan
[tutup]
* 1 Raja Kelantan Berketurunan Long Gaffar
o 1.1 Gelaran "Long"
* 2 Keturunan Raja Jembal
* 3 Kekaburan Sejarah Kelantan
* 4 Sumber
* 5 Kesimpulan Sejarah
* 6 Kemasukan ke Malaysia
* 7 Lihat juga
* 8 Rujukan
Raja Kelantan Berketurunan Long Gaffar
1. Long Gaffar
* Bermula pada 1750-an selepas Perang Kota Kubang Labu II
* Mangkat pada awal 1780-an
1. Long Seri
* Pada masa pemerintahannya Patani jatuh ke tangan Siam (1785)
* Mangkat pada usia 137 tahun
1. Long Demor
* Pemerintahannya berpusat di Jeram
1. Tengku Chik Pandak
1. Engku Besar Tun Ahmad
* Bermula ketika kemasukan pengaruh Inggeris
* Tamat selepas peristiwa Pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915
* Kemudiaannya berhijrah ke Kota Bharu Reman
Long Gaffar menguasai Kelantan (ketika itu dipanggil "Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Cik Siti Wan Kembang). Setelah menang perang iaitu perang Kota Kubang Labu 1. Perang tersebut berlaku selepas raja Kota Kubang Labu (dari keturunan Jembal) yang bernama Long Pandak membunuh isterinya yang merupakan puteri Raja Legeh (Narathiwat sekarang).
Puteri tersebut bernama Puteri Neng Mas(Tengku tengah adik Long Deraman) adalah juga merupakan sepupu Long Gaffar dibunuh kerana dituduh berzina dengan Long Gaffar kerana memiliki "kain Cindai" yang bernama "Cepa Melaka" yang dimiliki oleh Long Gaffar. Sebenarnya kain cindai tersebut dipinjamkan oleh Long Gaffar semasa lawatannya ke Kota Kubang Labu, kebetulannya pada masa ketiadaan Long Pandak. Puteri Neng Mas telah dibunuh dengan kejam, dimana mayatnya telah dibelah perut dan diikat di atas belakang gajah yang bernama "Neng Malai" yang dihadiahkan oleh oleh Raja Legeh. Peristiwa inilah yang membangkitkan kemarahan Raja Reman dan Raja Legeh.
Gelaran "Long"
"Long" berasal dari perkataan "sulong" iaitu anak sulung. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, anak sulong dipanggil "long", "kak Long" atau "abang long". Sudah menjadi adat dikalangan raja-raja Melayu pula, putera sulung mereka akan mewarisi takhta. Jadi Long Gaffar adalah putera sulong Raja negeri Reman (yang terletak di Yala, Selatan Thailand hingga Hulu Perak sekarang).
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa perkataan "Long" itu berasal daripada perkataan Siam yang bererti "Putera". Ini berasaskan hakikat bahawa semua anak-anak lelaki diberi pangkal nama "Long" tanpa mengira sama ada anak sulung atau tidak. (Ini berbeza dengan Long Jaafar di Perak kerana adiknya ialah Ngah Ibrahim). Anak-anak perempuan diberi pangkal nama Tuan di Kelantan, atau "Nan" atau "Nang" di Terengganu (dipercayai dari perkataan "Nae" bererti "puteri' dalam bahasa Siam).
Keturunan Raja Jembal
AImarhum Haji Nik Mat bin Raja Banjar adalah daripada keturunan Raja Jembal yang memerintah negeri Kelantan dalam kurun ke- 16. Keturunan Raja Jembal ini masih ramai lagi di negeri Kelantan, terutama sekali di Kedai Lalat, Pulau Melaka dan beberapa buah kampung lain di dalam jajahan Kota Bharu.
Sejarah Raja Jembal telah ditulis oleh Almarhum Dato' Perdana Menteri Kelantan, Nik Mahmud bin Nik Ismail (ayah Dato' Nik Ahmad Nik Kamil) sebelum Perang Dunia Kedua. Buku sejarah Raja Jembal yang ditulisnya telah dijadikan buku bacaan ilmu sejarah bagi sekolah-sekolah Melayu di Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.
Antara ahli kerabat Raja Jembal yang terkenal ialah Puteri Saadong, anak angkat Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di bahagian Hulu Kelantan pada waktu itu.
Asal-usul atau salsilah keturunan Raja Jembal ini bermula daripada seorang kerabat diraja Kedah bernama Raja Bersiong yang telah singgah lalu kemudiannya terus menetap di Kedai Lalat, kira-kira 10 kilometer dari Kota Baharu. Raja Bersiong ini dikatakan membawa dua orang anak angkat yang bernama Raja Sakti dan seorang lagi bernama Tuan Puteri Mani Kemian. Ada cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu berasal dari 'buluh betung' dan Tuan Puteri Mani Kemian itu terbit dari 'buih'. Dan ekoran daripada cerita dongeng itulah menyebabkan anak cucu Raja Jembal tidak memakan sayur buluh betung yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu sejak dulu hingga sekarang.
Tetapi fakta tentang cucu-cicit Raja Jembal zaman sekarang sudah dikaburi dengan cerita yang dianggap dongeng dan sudah tidak percaya lagi dengannya. didapati kini tiada lagi keturunan Raja Jembal itu yang percaya dengan dongeng yang mengatakan asal-usul nenek moyang mereka dari buluh betung dan buih.
Cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu keluar dari buluh betung dan Tuan Puteri Mani Kenilan itu keluar dari buih hanyalah rekaan dan khayalan penulis sejarah yang tidak begitu arif tentang sejarah dan salasilah Raja Jembal. Walau bagaimanapun, dikatakan terdapat wasiat daripada Raja Bersiong yang tidak membenarkan anak cucunya memakan sayur buluh betung dan tidak membenarkan anak cucunya membuat alat-alat rumah atau alat-alat pertanian dan lain-lainnya daripada buluh betung. Anak-anak cucu Raja Jembal juga tidak digalakkan memakan sejenis ikan bernama ikan sekacang.
Sejarah keturunan Raja Jembal itu bermula daripada perkahwinan Raja Sakti dengan Puteri Mani Kemian, kedua duanya anak angkat Raja Bersiong. Setelah kemangkatan Raja Bersiong, Raja Sakti telah dilsytiharkan sebagai raja yang berdaulat di sekitar Kedai Lalat dan beberapa daerah lain di Kelantan. Hasil daripada perkahwinan Raja sakti dengan Puteri Mani itu lahirlah Raja Loyur, Raja Omar, Raja Bahar dan beberapa orang putera dan puteri lagi.
Keturunan Raja Jembal yang ada sekarang ini ialah cucu cicit kepada Raja Sakti dan Puteri Mani Kemian itu. Menurut Cikgu Tuan Mat, pemerintahan Raja Jembal di Kelantan berakhir setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung (puteri Sultan Omar) pada tahun 1725. Setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung satu rebutan kuasa telah berlaku antara puteranya iaitu Raja Abdul Rahman dengan adindanya, Raja Pah (adik Raja Kecil Sulung yg bernikah dgn Long Bahar Datuk Pengkalan Tua putera Raja Patani).
Akibat daripada perebutan kuasa itu, Raja Abdul Rahman tersingkir daripada takhta pemerintahan keturunan Raja Jembal ini dan suami kepada Raja Pah, Tuan Besar (atau lebih dikenali sebagai Long Bahar) mengambil alih pemerintahan daripada keturunan Raja Jembal. Perpecahan telah berlaku dalam kerabat keturunan Raja Jembal ini kerana Tuan Besar (Long Bahar) yang mengambil alih pemerintahan itu berasal dari Patani.
Sepatutnya Raja Abdul Rahman yang mewarisi takhta bagi meneruskan kuasa keturunan Raja Jembal ini kerana Tuan Besar atau Long Bahar itu bukan daripada keturunan Raja Jembal. Walaupun pemerintahan Raja Jembal telah berakhir, namun kesan sejarahnya masih wujud dengan adanya makam Raja Loyor, makam Raja Omar dan makam Raja Bahar yang telah dibaiki dan dibina semula oleh pihak Muzium Negara dalam tahun 1970an. Makam-makam ini terletak di sekitar Kedai Lalat.
Sebuah sekolah menengah di Kedai Lalat telah diberi nama Sekolah Menengah Raja Sakti dan sebuah sekolah rendah di pekan yang sama diberl nama Sekolah Kebangsaan Raja Bahar.
Dikatakan yang kerabat keturunan Raja Jembal kini berada di sekitar Kedai Lalat, Pulau Melaka, Sering dan di daerah-daerah lain di Kelantan dan masih lagi menggunakan bahasa diraja atau bahasa istana dalam pertuturan antara sesama mereka. Perkataan 'ku', 'patik', 'kanda', 'bonda', 'ayahanda', 'berangkat', 'cerat', 'mangkat' dan sebagainya masih digunakan oleh keturunan Raja Jembal walaupun kini mereka hanyalah rakyat biasa yang tinggal di beberapa buah kampung di Kelantan. Ini bererti bahawa pengaruh diraja dan istana masih tebal di kalangan cucu-cicit Raja Jembal yang masih hidup sekarang walaupun mereka telah dipisahkan dari istana sejak tiga abad yang lalu.
Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal telah pun ditubuhkan dan mendapat restu daripada Persatuan Kerabat Diraja Kelantan. Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal sekarang diketuai oleh Raja Mahmud bin Raja Mamat, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan dan Naib Ketuanya ialah Cikgu Tuan Mat bin Raja Kechik.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat juga telah dilantik sebagai penasihat kepada Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal ltu. Pihak Kerabat Diraja Kelantan telah diberitahu tentang perlantikan itu. Ini tidak bermaksud untuk mengulas secara panjang lebar tentang kisah dan sejarah Raja Jembal, tetapi hanya sekadar untuk mengaitkan serba sedikit riwayat tentang datuk nenek Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan keluarganya sebagai berketurunan daripada Raja Jembal yang masyhur dalam sejarah negeri Kelantan. Datuk sebelah bapa kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz masih lagi menggunakan panggilan 'raja', iaitu Raja Banjar.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengingati suatu perkara tentang almarhum datuknya ini. Raja Banjar bukanlah orang kaya walaupun memiliki banyak tanah. Mengikut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, datuknya suka merantau meninggalkan rumah sehingga satu atau dua minggu. Apabila beliau pulang, dikerjakannya tanah dengan menanam kelapa dan getah secara bersungguh-sungguh bagaikan menggantikan masa kerjanya yang telah terbuang disebabkan merantau itu.
Kekaburan Sejarah Kelantan
Terdapat pihak yang mengatakan terdapat penyelewengan yang berkaitan dengan fakta sejarah negeri ini. Pendedahan yang telah dibuat menyebabkan ada pihak yang terasa. Penyelewengan itu dikatakan bermula dengan terbitnya buku "Ringkasan Cetera Kelantan" oleh Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud Bin Ismail sebelum tahun 1950-an. Penyelewengan fakta ini dipercayai dilakukan secara terancang dan berterusan ini terbukti dengan terbitnya buku terbaru sejarah Kelantan iaitu "Iktisar Sejarah Kelantan" yang kemudiannya diiklankan di dalam majalah "Pengasuh" keluaran MAIK.
Dikatakan, ramai yang tidak menyedari bahawa selepas kejatuhan "Kota Lubang Kubu" akibat Perang Kota Lubang Labu II pada tahun 1762 di antara Long Mohamad yang memerintah Kota Lubang Labu dengan Long Gaffar (Long Gaffar merupakan Raja Muda Negeri Reman dan bukannya anak pembesar Reman seperti yang didakwa di dalam buku di atas), negeri ini kemudiannya telah diperintah oleh Long Gaffar dan keturunannya.
Pusat pemerintahan utama semasa pemerintahan Long Gaffar di Negeri ini ialah di Kota Limbat, Peringat dan pada masa yang sama seorang tokoh iaitu Long Yunus (anak Long Sulaiman) yang merupakan sahabat baik Long Gaffar yang dianggap sebagai adik oleh baginda Long Gaffar. Lalu Long Yunus telah diberikan kuasa memerintah oleh Long Gaffar dari kawasan Pasir Tumbuh hingga ke Padang Garung, dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan Di sebelah Baratnya hingga ke Bukit Tanjung (Narathiwat). Walau bagaimanapun, segala keputusan dan kuasa sebenar berkaitan pentadbiran dan kes-kes jenayah adalah terletak di bawah bidang kuasa Baginda Long Gaffar di kota Limbat. Peristiwa ini yang menyebabkan munculnya nama "Kelantan", yang dikatakan berasal dari perkataan "Negeri yang Dikerat Lintang" antara Raja yang memerintah iaitu baginda Long Gaffar yang berpusat di Kota Limbat dengan Long Yunus dan sempadannya ialah Pasir Tumbuh.
Fakta tersebut dikatakan cuba diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu di Kelantan dengan memutarbelitkan peristiwa (menyatakan Long Yunus yang beri kuasa kepada Long Gaffar) bertujuan bagi memperkecilkan dan seterusnya menghapuskan peranan Long Gaffar dalam lipatan sejarah Kelantan sedangkan dalam perang tersebut, dipercayai Long Gaffar berjaya berperang dan mengalahkan Long Mohamad yang dibantu oleh Long Deraman.
Semasa pemerintahan baginda Long Gaffar dan keturunannyalah, telah terlaksana Hukum Hudud di Kelantan. Di antara tokoh yang terlibat dan menjadi tempat rujukan dan nasihat bagi perlaksanaan hukuman ini ialah Haji Nik Ismail Limbat (Tok Baruh) yang merupakan keturunanan Raja Jambu Patani yang asal. Keturunannya kemudian mengasaskan pondok Bukit Abal dan salah seorang dari keturunannya muncul sebagai tokoh agama yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
Pemerintahan keturunan Long Gaffar di Kelantan berakhir selepas peristiwa pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915 iaitu semasa pemerintahan Tengku Besar Jeram iaitu Tengku Besar Tuan Ahmad yang memerintah di Jeram, Pasir Puteh. Peristiwa yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan keturunan Long Gaffar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan keengganan mengiktiraf pengaruh Inggeris dan Siam di negeri Kelantan. Akibat mainan politik penjajah Inggeris dan Siam, para keturunan Long Yunus kemudiannya diiktiraf sebagai pemerintah Kelantan.
Sumber
Buku sebenar yang dipercayai mempunyai Sejarah Kelantan ini ditulis menggunakan tulisan Jawi Lama dikatakan ada tujuh naskhah. Buku ini dipercayai ditulis oleh penulis DiRaja pada zaman pemerintahan Baginda Long Gaffar bagi menceritakan tentang salasilah keturunan Raja-Raja yang berasal dari Pagar Ruyung dan kebesaran kerajaan baginda. Berikut adalah maklumat terakhir tentang buku-buku berkenaan:-
1. Salah satu daripadanya dibeli di Kemaman oleh Haji Yaakob dan dijual kepada saudaranya iaitu Haji Abdul Razak Antik. Beliau kemudiannya menjual kepada Muzium Negara, tetapi sebahagian daripada muka surat iaitu muka surat 1 – 20 yang menceritakan kisah sebenar sejarah Kelantan telah dikoyakkan oleh pihak-pihak tertentu.
2. Naskah berikutnya dimiliki oleh Tengku Ismara yang kemudiannya diserahkan kepada Dewan Bahasa Dan Pustaka.
3. Naskah ketiga dimiliki oleh Haji Zahari antik kemudiannya menjualkannya kepada dua pensyarah universiti berbangsa Inggeris dan India pada tahun 1974 dengan harga RM700.
4. Naskah yang selebihnya dipercayai masih ada di dalam simpanan pihak-pihak tertentu, di antaranya ialah Tengku Abullah Tengku Seriwa Raja dan pihak Istana Kelantan.
Kesimpulan Sejarah
Secara kesimpulannya, Kelantan terdapat 3 puak atau kumpulan yang pernah menjadi Raja atau Sultan Kelantan hingga sekarang iaitu:-
1. Keturunan asal iaitu dari Raja Kumar yang kemudian memeluk Agama Islam dengan bergelar Sultan Iskandar Shah. Dari titihan ini lahirnya Cik Siti Wan Kembang.
1. Keturunan Raja Jembal yang berasal dari anak angkat Raja Bersiong dari Kedah setelah dihalau oleh saudaranya. Keturunan ini memakai gelaran Raja dipangkal nama. Puteri Saadong adalah dari susur-galur Raja Jembal.
1. Keturunan Datu Patani yang yang asalnya adalah "gabenor" yang dilantik oleh pemerintah pusat Patani bagi mewakili pemerintahannya mengantikan kesultanan Raja Jembal. Titihan ini mula memerintah Kelantan dengan perlantikan atau serah kuasa oleh Raja Kecil Sulung yang juga merupakan kakak kepada Raja Pah anak kepada Raja Omar adik kepada Raja Loyor kepada Long Bahar anak Raja Patani yang bergelar Datuk Pengkalan Tua.
Kemasukan ke Malaysia
Kelantan bergabung ke dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, dan mendapat kemerdekaan sama dengan negeri-negeri lain pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan secara rasminya menjadi salah satu negeri dalam Malaysia.
SEJARAH NEGERI SEMBILAN
Negeri Sembilan pada asalnya didiami oleh orang-orang asli daripada suku kaum Sakai, Semang dan Jakun. Mereka hidup berpindah randah, memburu, mengutip hasil hutan dan ada yang mula bertani.
Pada permulaan abad ke-14 Masehi orang-orang Sumatra dari Tanah Minangkabau mulai tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Orang Minangkabau ini lebih bertamadun daripada Orang Asli ini dan berjaya memujuk hati orang Asli. Dengan itu berlakulah nikah kahwin antara orang-orang Minangkabau ini dengan penduduk asli dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda. Suku Biduanda ini adalah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih. Orang-orang Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau. Pada peringkat awal kebanyakan yang tiba adalah dari Tanah Datar dan Paya Kumbuh.
Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Undang. Sebelum wujudnya Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan adalah di bawah naungan kerajaan Melayu Johor.
Ketibaan Raja Melewar dari Pagar Ruyung, Minangkabau pada 1773, memulakan institusi beraja di Negeri Sembilan. Uniknya ialah raja di Negeri Sembilan adalah yang dijemput oleh pembesar-pembesar negeri (Penghulu) dari Pagar Ruyung dan dirajakan di Negeri Sembilan. Sebab itulah raja tidak digelar Sultan tetapi memakai gelaran Yang DiPertuan atau Yamtuan. Asal penubuhan Negeri Sembilan adalah oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang. Beliau juga merupakan pengasas bagi adat pepatih yang sangat dikenali umum. Seperti yang di ketahui umum, adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini adalah adat yang terbaik di Negeri Melayu kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan. Berbeza dari kesultanan Melayu yang lain, harta dan darah keturunan di warisi oleh kaum lelaki. Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan di bahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
No comments:
Post a Comment