Tuesday, April 29, 2008

Malayan Union

Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 selepas Perang Dunia II merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya.

Rasional untuk pembentukan Malayan Union

Seawal 1943, kerajaan British telah menubuhkan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II tamat. Unit perancangan tersebut mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi Malayan Union, sedangkan Singapura dikekalkan sebagai tanah jajahan yang berasingan.

Rancangan Malayan Union mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan disebabkan ketakutan bahawa penentangan orang Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan tersebut. Terdapat kesangsian tradisional di kalangan peniaga-peniaga Tanah Melayu bahawa sektor perniagaan Singapura akan menjejaskan kepentingan mereka. Selain itu, pihak British juga takut bahawa pemasukan dasar kewarganegaraan yang liberal akan mengakibatkan ketakutan pemimpin-pemimpin Melayu disebabkan bilangan orang Cina Singapura yang besar. Bagaimanapun, kerajaan British juga hendak menjadikan Singapura sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk operasi strateginya di Timur Jauh.

Kebanyakan buku-buku Inggeris menyatakan salah satu daripada sebab utama untuk pembentukan 'Malayan Union' ialah hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu terhadap kemerdekaan. Ia dilihat sebagai satu kewajaran kerana pihak British telah pun menandatangani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan bahawa semua negara-negara dunia berhak untuk menentukan dan memerintah negara sendiri dalam erti kata lain 'Merdeka', Maka, pihak Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun, banyak pihak di Tanah Melayu ketika itu mempercayai bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan menjadi sebuah tanah jajahan British. Di mana ia dilihat sebagai satu usaha untuk memanjangkan lagi tempoh penjajahan British di Tanah Melayu dengan cara berpura-pura berusaha untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, sedangkan kuasa pemerintah Tanah Melayu ketika itu, iaitu sultan-sultan telah pun dilucutkan melalui pembentukan Malayan Union.

Butiran utama Malayan Union

Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Sebaliknya pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Ini sekaligus menunjukan kedaulatan British di Tanah Melayu. Di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu. Dan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun.

Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum dan kepercayaan atau pun turut dikenali sebagai 'jus soli'.

Peringkat memperkenalkan Malayan Union

Cadangan untuk rancangan Malayan Union diumumkan oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, buat pertama kali di Parlimen United Kingdom pada Januari 1944. Wilayah-wilayah Borneo juga dimasukkan dalam rancangan yang asal tetapi pemasukan itu kemudian dikeluarkan daripada cadangan yang terakhir kerana merumitkan cadangan Union yang sudah cukup susah.

Pada musim bunga 1944, Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael, untuk pergi ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan daripda raja-raja Melayu. Sir Harold Macmicheal bukanlah seorang yang arif tentang Tanah Melayu, beliau tidak pernah berkhidmat di Tanah Melayu. Tetapi kerajaan British yang kerap menerima maklumat salah mengenai Tanah Melayu dan orang Melayu percaya bahawa Sir MacMicheal pernah berkenalan baik dengan beberapa putera-putera dari Tanah Melayu. Pada 3 September 1945, ketika pihak British sedang menjalani pendudukan semula di Tanah Melayu, Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.

Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. Mac Michael telah bertindak memaksakan sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia II. Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru dengan Sir Harold MacMicheal. Bagaimanapun, sebilangan daripada sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian itu, tetapi disebabkan oleh ugutan yang mendakwa pe baginda-baginda sultan memainkan peranan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah memaksa sultan-sultan itu untuk merelakan Malayan Union untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak British dan mereka juga bimbang akan kehilangan tahta. Tanpa disedari oleh sultan-sultan ini ialah semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan. Dengan itu, kepura-puraan pihak British bahawa mereka ingin membantu sultan-sultan Melayu untuk memerintah dihapuskan.

Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam suatu Kertas Putih pada akhir bulan Januari 1946.

Gerak balas daripada kaum Melayu

Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu, yang biasanya bersikap lemah lembut dan sering boleh di arah untuk melakukan itu dan ini telah bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pemimpin-pemimpin Melayu dan pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam di Tanah Melayu telah mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan membidas MacMichael kerana menggunakan 'ugutan' untuk memperolehi persetujuan daripada sultan-sultan Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak meLobi Tanah Melayu di Parlimen antara bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang mengambil bahagian adalah Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemard. Mereka turut menulis surat-surat kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada [[Perdana Menteri United Kingdom] agar menghentikan usaha menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada tanah jajahan. Kegiatan seumpama ini mewujudkan tanggapan bahawa terdapat tentangan yang hebat terhadap Malayan Unionbukan sahaja daripada penduduk Tanah Melayu malahan daripada pegawai dalaman British sendiri.

Sultan-sultan Tanah Melayu juga telah terpengaruh oleh perasaan anti Malayan Union yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai Melayu dan rakyat Melayu. ini mengheret baginda sultan untuk membantah secara terbuka terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan baginda-baginda untuk perjanjian baru itu. Sultan-sultan tersebut menolak rancangan Malayan Union dan cadangan untuk menghantar sutu perwakilan ke London untuk memansuhkan rancangan itu telah disuarakan. Bagaimanapun, sudut pandangan orang Melayu disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau PEKEMBAR yang telah muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

Pihak British sangat terperanjat dengan perubahan sikap masyarakat Melayu. Selepas pendudukan Jepun orang-orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang dari tanah seberang (ndonesia). Di atas kesedaran inilah Orang-orang Melayu telah bangun bersama-sama untuk menentang cadangan pihak British. Tindakan yang kemas telah dilancarkan melalui UMNO. Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama, malahan sultan-sultan negeri-negeri Melayu juga turut bersama-sama bergabung dengan rakyat Melayu untuk menentang Malayan Union. Satu perkara yang tidak pernah terjadi di Tanah Melayu sebelumnya.

Perjuangan orang-orang Melayu tidak terhenti setakat itu sahaja, orang Melayu turut mengadakan ceramah-ceramah umum di seluruh semenanjung untuk menyedarkan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Selepas menerima tekanan yang begitu kuat, pihak British yang masih ingin meneruskan Malayan Union mencadangkan satu jawatankuasa dihantar untuk melihat reaksi masyarakat Melayu. Ahli jawatankuasa tersebut telah terkejut melihat reaksi yang amat kuat dari orang melayu untuk menghentikan Malayan Union. di mana sahaja mereka pergi pasti disambut dengan ribuan umat melayu dengan slogan-slogan anti Malayan Union. Malahan mereka dan Gabenor Malayan Union ketika itu turut bersimpati dengan orang-orang Melayu. Pada akhir lawatan tersebut, ahli jawatankuasa terbabit telah mengambarkan sesuatu yang positif di dalam ucapan mereka. Ramai orang melayu dan UMNO sendiri yakin bahawa Malayan Union akan berkubur.

Penubuhan UMNO

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.

Pelaksanaan Malayan Union

Meskipun penentangan orang-orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan.

Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union adalah sangat kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama majlis tersebut telah dipulau oleh sultan-sultan Melayu. Ia adalah kesan daripada tindakan orang-orang Melayu yang telah berhimpun di luar rumah tumpangan yang didiami oleh sultan-sultan Melayu yang ingin menghadiri ucapara perlantikan tersebut. Ketika itu Orang-orang melayu telah bertindak berkabung dengan cara melilit kain putih pada songkok. Orang-orang Melayu yang berkumpul itu telah menghantar wakil mereka iaitu Dato' Onn Jaafar untuk berunding dengan sultan-sultan agar turut memulaukan upacara tersebut. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan tahta mereka, telah menyedarkan sekelian baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union. Akhirnya,Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 selepas itu untuk mengantikan Malayan Union yang telah gagal itu pihak British terpaksa menurut kehendak masyarakat Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk mengwujudkan Persekutuan Tanah Melayu . Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, melalui perundingan antara pihak British, sultan-sultan Melayu dan UMNO.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan suatu kemenangan untuk orang-orang Melayu tetapi disambut dengan kecewa oleh beberapa golongan-golongandi dalam etnik yang lain. Bagaimanapun, mereka yang menentang cadangan Persekutuan tidak mempunyai sokongan di Tanah Melayu sendiri. Serta lobi Parlimen dan penyokong-penyokong di London yang telah membantu dalam pembatalan skim Malayan Union. Orang-orang Cina yang berada di Tanah Melayu berasa dikhianati kerana mereka menganggap bahawa mereka telah membuat pengorbanan yang lebih besar berbanding orang Melayu dan merupakan golongan yang paling setia kepada pihak British sepanjang peperangan dengan Jepun. Sesetengah daripada orang Cina yang tidak puas hati kini melihat Parti Komunis Malaya sebagai harapan yang tunggal untuk mencapai sebuah kemerdekaan. Ini didasari oleh pendapat pihak British telah meminggirkan masyarakat cina Tanah Melayu.

Garis masa

* 14 Ogo 1941: Britain memeterai "Piagam Atlantik" yang mengisytiharkan hak negara-negara untuk penentuan diri.
* 1943: Pembentukan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II.
* Januari 1944: Cadangan untuk Malayan Union dikemukakan buat pertama kali oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, di Parlimen United Kingdom.
o Musim bunga: Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael untuk mengetuai perwakilan ke Tanah Melayu selepas peperangan untuk memperoleh perjanjian yang baru daripada sultan-sultan untuk bersetuju dengan Malayan Union.
* 03 Sep 1945: Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.
* 21 Dis 1945: Setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian baru untuk membentukkan Malayan Union.
* Januari 1946: Pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union melalui sebuah Kertas Putih.
* 1 Mac 1946: Kira-kira 200 orang Melayu yang mewakili 41 buah persatuan berhimpun di Kuala Lumpur untuk Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress). Kongres itu membincangkan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union.
* 01 Apr 1946: Malayan Union diisytiharkan oleh kerajaan jajahan British.
* 01 Mei 1946: Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Penubuhan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres ini juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.
* 01 Feb 1948: Malayan Union dibatalkan pada keseluruhannya dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu seperti yang telah dipersetujui dengan UMNO dan Raja-raja Melayu.

Rujukan

* Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya. A History of Malaysia, The MacMlllan Press Ltd. (1982). ISBN 0-333-276736.
* The World Book Encyclopedia, World Book International (1994). ISBN 0-7166-6694-4.

No comments: